Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) terus mempelbagaikan perkhidmatannya dengan memperkenalkan kemudahan tambahan baharu iaitu pembayaran zakat akaun simpanan dan pelaburan kepada pelanggan Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya percaya perkhidmatan baharu ini akan memudahkan lagi empat juta pendeposit Bank Islam yang ingin melaksanakan zakat simpanan dan pelaburannya.

Katanya, perkhidmatan ini juga untuk membantu pelanggan membayar zakat kepada Agensi Mengurus Zakat (AMZ).

“Dengan ciri baharu ini juga pelanggan boleh memilih untuk mewakilkan Bank Islam bagi menguruskan pembayaran zakat ke atas akaun simpanan dan pelaburan mereka.

“Perkhidmatan ini adalah percuma dan tiada sebarang caj dikenakan. Cara pengiraan pula kami kumpulkan jumlah baki simpanan dan pelaburan yang berakhir 31 Oktober sebelum zakat dikira mengikut nisab yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran perkhidmatan zakat simpanan dan pelaburan Bank Islam di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini Bank Islam mempunyai nilai aset RM49 bilion bagi segmen korporat, individu dan agensi.

Sementara itu, Mohd Muazzam turut mengulas mengenai Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikatakan akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Jika OPR diturunkan, kami melihat lebih banyak peluang perniagaan dalam segmen perbankan konsumer dan ia sangat baik serta memacu pertumbuhan pelaburan.

“Oleh itu, tujuan biasa polisi monetari yang dilakukan BNM adalah untuk mengembangkan lagi ekonomi.

“Sebagai bank yang banyak terbabit dengan perbankan konsumer, apabila terdapat lebih perbelanjaan dan pelaburan, sudah pasti lebih banyak peluang perniagaan yang akan muncul,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini segmen konsumer mewakili 60 peratus daripada jumlah aset Bank Islam.

BNM pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 7 Mei ini dijangka akan menurunkan 25 mata asas OPR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:14 AM