Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi pertumbuhan asetnya dan 15 peratus untuk segmen pembiayaan pada tahun ini.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihaknya meletakkan sasaran pertumbuhan sederhana bagi aset dan pembiayaan Bank Islam untuk 2015, terutama dalam situasi mencabar pada ekonomi sekarang ini.

“Kami tidak mahu mengunjurkan pertumbuhan yang terlalu tinggi berbanding tahun lalu, paling penting prestasi yang dicapai diharap dapat meningkat tahun ini.

“Secara keseluruhan, segmen konsumer dilihat sedikit menurun terutama selepas pengenalan garis panduan untuk pembiayaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya pada sidang media selepas penyerahan zakat perniagaan Bank Islam di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Zukri berkata, Bank Islam akan membuka lapan lagi cawangan baru di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar menjelang akhir tahun ini berbanding 142 cawangan Bank Islam sedia ada.

Menurutnya, Bank Islam memperuntukkan pelaburan antara RM500,000 hingga RM600,000 bagi membuka satu cawangan.

Sementara itu, katanya, Bank Islam juga meneruskan kewajipan menunaikan zakat perniagaannya tahun ini yang berjumlah RM12.7 juta, meningkat sebanyak 5.97 peratus berbanding 12.03 juta yang dibayar bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Menurutnya, sejak penubuhan Bank Islam, jumlah zakat perniagaan yang dibayar oleh pihaknya melebihi RM95 juta.

“Bagi menunjukkan komitmen kami, Bank Islam turut memperkenalkan pelbagai kemudahan saluran pembayaran zakat iaitu Mudah Zakat yang meliputi perbankan Internet, perbankan Mudah Alih, kad kredit-i, Debit-i dan MPos,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 1:47 PM