Maybank Islamic
Maybank Islamic

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) melancarkan perkhidmatan pembayaran zakat digital secara automatik pertama seumpamanya untuk akaun deposit dan akaun pelaburan patuh Syariah.

Perkhidmatan dikenali sebagai Auto Debit untuk Zakat Simpanan & Pelaburan kini boleh didapati melalui aplikasi MAE dan laman web Maybank2u, menyediakan perkhidmatan mudah dan lancar kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, dengan perkhidmatan baharu ini, pelanggan boleh menyatukan semua pembayaran zakat mereka untuk akaun simpanan dan pelaburan ke dalam satu penyata.

"Amaun zakat kemudian akan dikira secara automatik dan ditolak atas persetujuan pemegang akaun menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan.

"Ciri baharu ditawarkan ini sejajar dengan komitmen Kumpulan Maybank demi meningkatkan pengalaman pelanggan melangkaui perbankan tradisional melalui pendigitalan dan kemajuan teknologi.

"Kami berhasrat memberi perkhidmatan ini kepada lebih empat juta pelanggan serta orang ramai yang ingin menunaikan kewajipan zakat tetapi belum mempunyai akaun Maybank Islamic," katanya dalam kenyataan.

Perkhidmatan Auto Debit Zakat Simpanan & Pelaburan kini tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa Maybank Islamic, termasuk daily fund-i, term deposit dan term fund-i.

Pada masa ini, pelanggan boleh membuat pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan ciri ini diperluaskan ke badan zakat lain dalam masa terdekat.

Perkhidmatan ini juga menentukan sama ada jumlah baki dalam akaun yang mengambil bahagian memenuhi keperluan nisab minimum (jumlah minimum yang perlu dimiliki seorang Muslim sebelum diwajibkan membayar zakat).

Pelanggan yang memenuhi keperluan ini menerima push notification, untuk memaklumkan kepada mereka tentang kelayakan pembayaran zakat dan sebaik sahaja potongan zakat dibuat, pelanggan menerima pemberitahuan yang mengesahkan pembayaran berjaya dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 1:34 PM