GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Peminjam yang mempunyai komitmen bulanan dengan institusi kewangan lega Kadar Dasar Semalaman (OPR) baharu yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) kekal 3.0 peratus.

Pengusaha syarikat perancang perkahwinan, Mohd Fadlie Mat Said, 39, berkata, dalam keadaan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya, wajar OPR dikekalkan pada kadar semasa, 3.0 peratus.

"Kalau OPR naik, semua peminjam akan terjejas apatah lagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) macam saya serta peminjam nilai kecil seperti B40 dan M40," katanya sempena pengumuman BNM kadar OPR baharu yang diumumkan hari ini.

Mohd Fadlie berkata, ada ruang untuk kerajaan berperanan dalam memastikan rakyat tidak terkesan dengan kadar OPR.

"Memang ada pro dan kontra tentang OPR ini. Kalau turun ia akan kesan kepada kerajaan dan ekonomi kita kalau naik kita peminjam yang akan terbeban.

"Jadi ada bahagian yang kerajaan boleh bantu kurangkan beban peminjam contohnya kekalkan harga barangan kawalan terutama petrol, gula, beras dan sebagainya.

"Ini kerana kenaikan barangan asas ini juga sudah tentu akan menyebabkan semua makanan dan perkhidmatan seperti katering dan kedai makan meningkat sekali gus menyebabkan pengguna terpaksa bayar lebih mahal," katanya.

Pekerja swasta, Azroy Mansor,35, juga mengharapkan OPR tidak mengalami kenaikan lagi selepas ini.

"Saya ada komitmen bayaran kereta dan rumah yang mana tempohnya masih panjang. Dengan pendapatan kurang RM5,000 dan menanggung perbelanjaan keluarga, saya harap OPR tidak mengalami kenaikan lagi buat masa ini.

"Jika ada kenaikan saya agak bimbang ia akan menjejaskan kewangan sedia keluarga kami kerana sudah tentu perbelanjaan bulanan meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) T Saravanan berkata, pihaknya menyambut baik tindakan BNM yang mengekalkan OPR pada 3.0 peratus bagi mengimbangi semua keperluan serta pada masa sama tidak membebankan peminjam.

"Kadar OPR memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelaburan langsung asing (FDI) selain sudah pasti untuk mengukuhkan ekonomi kita.

"Pada masa sama, kadar ini tidak membebankan rakyat yang mempunyai komitmen bayaran dengan bank," katanya.

BNM mengumumkan keputusan kadar OPR kekal pada 3.0 peratus selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengadakan mesyuarat dasar pertama bagi 2024 pada 22 hari ini.

Pada mesyuarat terakhir bagi 2023 yang diadakan November tahun lalu, MPC membuat keputusan untuk mengekalkan kadar berkenaan pada 3.0 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 5:42 PM