AHLI Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Profesor Emeritus Muhammad Awang menyaksikan  Majlis Menandatangani Dokumen Persetujuan di antara Redza Shah (kiri) dan  Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid.
AHLI Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Profesor Emeritus Muhammad Awang menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Persetujuan di antara Redza Shah (kiri) dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) berhasrat untuk melebarkan kolaborasi pengurusan zakat ke negeri lain di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi memperluaskan lagi perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Redza Shah Abdul Wahid berkata, buat masa ini Bank Muamalat dalam proses menjalinkan kerjasama pengurusan zakat dengan empat negeri.

Katanya, terbaharu Bank Muamalat turut melancarkan kemudahan Ez-Zakat Muamalat iaitu kemudahan pengiraan dan potongan zakat secara automatik bagi akaun simpanan dan semasa dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“LZS rakan kongsi kedua Bank Muamalat dalam menyediakan khidmat pengiraan dan pemotongan zakat ke atas akaun simpanan pelanggan kami dan terdahulu, Bank Muamalat melancarkan Ez-Zakat dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat-MAIWP pada Mac lalu.

“Sebagai institusi kewangan pertama yang memperkenalkan perkhidmatan seumpama Ez-Zakat, kami menyeru lebih banyak perbankan Islam menyediakan kemudahan potongan zakat seperti ini.

“Selain zakat, Bank Muamalat turut aktif mempromosikan wakaf, perancangan harta dan akaun emas,” katanya pada majlis menandatangani dokumen persetujuan antara Bank Muamalat dan LZS di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.

Perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat ditawarkan di semua 64 cawangan seluruh negara.

Kaedah kiraan dan potongan zakat yang akan digunakan mengikut praktis LZS-MAIS.

Redza berkata, fasiliti ini akan memudahkan pendeposit Bank Muamalat yang beragama Islam menunaikan kewajipan berzakat ke atas wang simpanan mereka.

Potongan zakat akan dilakukan secara automatik apabila cukup haul dan nisab.

Selain itu, potongan zakat yang dibuat melalui Ez-Zakat Muamalat melayakkan pendeposit mendapat pelepasan cukai pendapatan mengikut Seksyen 6A (3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:38 AM