Bisnes HM


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 7.3 peratus kepada 37,400 unit dalam tempoh dua bulan pertama 2019 berbanding 34,800 unit tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, lonjakan jualannya itu disebabkan permintaan yang tinggi untuk hampir kesemua modelnya.

Beliau berkata, peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha kumpulan menambahbaik masa penghantaran model baharu kepada pelanggan.

Dua bulan pertama tahun ini katanya, PERODUA menjual 15,000 unit Myvi, 10,100 (Axia), 5,900 (Bezza), 3,600 (Aruz) dan 2,700 (Alza).

Manakala, dari segi pengeluaran pula katanya, 36,500 kenderaan telah dikeluarkan, hampir 6.2 peratus lebih banyak daripada 34,375 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa penguasaan pasaran kami setakat tahun ini adalah 41 peratus.

“Bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk terbaharu kami, Perodua Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari,” katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:40 PM