AMEEN (lima dari kiri) pada pelancaran Tune Talk Value Incredible Plan (VIP).
AMEEN (lima dari kiri) pada pelancaran Tune Talk Value Incredible Plan (VIP).
Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR: Tune Talk Sdn Bhd (Tune Talk), menyasar 100,000 pelanggan menjelang Jun depan bagi pelan Value Incredible (VIP).

Pelan VIP Tune Talk itu bernilai RM10 dan dilengkapi dengan 2GB data berkelajuan tinggi dan panggilan tanpa had ke atas semua pengguna Tune Talk.

Ketua Eksekutifnya, Ameen Amaendran berkata, pihaknya akan menggerakkan siri jelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan pelan baharu itu yang juga turut direka khas bagi golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Tune Talk kini menjalin hubungan rapat dan dinamik dengan arena sukan Paralimpik negara dan hubungan itu telah berlangsung selama lima tahun.

“Sepanjang kerjasama itu berjalan, kami menyedari mengenai keistimewaan individu dalam golongan warga emas dan OKU dan juga sumbangan besar mereka kepada negara.

“Kami kekal antara satu daripada syarikat korporat terawal di negara ini yang menyokong kedua-dua golongan berkenaan dan kami akan terus memperjuangkan misi kami dalam membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pelan berkenaan di sini, semalam.

Hadir merasmikannya, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, Ameen berkata, pihaknya juga akan terus mencari pendekatan yang lebih berdaya saing bagi menarik lebih ramai pelanggan baharu.

“Kami merancang untuk memperkenalkan beberapa lagi pelan baharu pada suku pertama tahun depan dan semua pelan serta ganjaran yang akan dilaksanakan cara kami menunjukkan penghargaan kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata, langkah memperkenalkan pelan khas untuk golongan warga emas dan OKU amat dialu-alukan.

“Kementerian sentiasa berusaha mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk warga emas dan OKU kerana kedua-dua kumpulan ini amat penting dan mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan negara.

“Justeru, kami menyokong inisiatif seperti ini dan berharap lebih banyak syarikat korporat akan mengikut jejak langkah Tune Talk,” katanya.

Sehingga kini, Tune Talk mempunyai 1.2 juta pelanggan dengan 700,000 daripadanya adalah pelanggan aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 4:16 AM