Ameen Amaendran.
Ameen Amaendran.

Kuala Lumpur: RedONE Network Sdn Bhd (redONE) melantik Ameen Amaendran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu untuk Malaysia.

Beliau menggantikan Farid Yunus, yang dilantik semula sebagai CEO Kumpulan redONE Holdings.

Ameen menyertai redONE dengan pengalaman luas apabila terbabit dalam industri telekomunikasi selama 22 tahun lalu dengan memegang pelbagai jawatan dalam dua pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Malaysia.

Sejak 2018, Ameen dipinjamkan CelcomDigi kepada Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) tempatan yang lain, yang mana beliau berjaya mengubah perniagaan merugikan menjadi MVNO yang menjana keuntungan lapan angka setiap tahun.

Ia akan menjadi tugas kedua beliau di redONE selepas dipinjamkan CelcomDigi selama setahun pada Februari 2016.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke redONE dan terutamanya untuk membantu mereka mengembangkan bahagian pasaran mereka dalam segmen prabayar.

"Sebagai satu-satunya MVNO pascabayar di Malaysia dengan lebih sejuta pelanggan, mereka mempunyai peluang pertumbuhan yang ketara dengan prabayar," kata Ameen dalam satu kenyataan.

Selain menawarkan perkhidmatan mudah alih pascabayar dan prabayar, redONE juga menceburkan diri dalam pembiayaan mikro dengan pelancaran redCASH awal tahun ini, menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 kepada pelanggan sedia ada.

Perkhidmatan lain termasuk insurans (redCARE) dan barangan elektronik (redMALL).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 4:49 PM