Mohd Zaky Zainuddin

Petaling Jaya: Proton Holdings Bhd (Proton) akan melaksanakan pelbagai langkah perlu untuk menarik rakyat membeli kenderaan jenama itu pasca pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, langkah itu perlu memandangkan keperluan untuk memiliki kenderaan di negara ini masih positif meskipun selepas pelaksanaan SST 2.0.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan Proton kekal bersaing dalam pasaran automotif tempatan dan rakyat tetap memilih Proton.

“Selepas pelaksanaan SST, harga kenderaan Proton akan meningkat sedikit dan impak cukai ini adalah kepada semua pengeluar.

“SST adalah dasar kerajaan dan semua pengeluar perlu menghormati dan memenuhi tuntutan ini. Cukai ini sangat adil untuk jualan bagi semua pengeluar,” katanya kepada media selepas merasmikan pusat edaran 3S Proton baru di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Abdul Rashid Musa, Pengarah Regal Motors Holdings Sdn Bhd Tengku Datuk Seri Uzir Tengku Datuk Ubaidillah dan Pengarah Urusan Regal Motors Holdings Sdn Bhd Philip Jason How.

Mengulas mengenai kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, Chunrong berkata, pengeluar kereta nasional itu akan membuka tempahan SUV baru yang bakal dilancarkan hujung tahun ini pada bulan depan.

“Proton berada pada landasan tepat dalam meningkatkan kualiti. Prestasi jualan juga bertambah baik dan tidak lama lagi SUV pertama kami akan dibuka untuk tempahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:17 AM