ORANG ramai meluangkan masa melihat  SUV pertama  Proton. FOTO Owee Ah Chun
ORANG ramai meluangkan masa melihat SUV pertama Proton. FOTO Owee Ah Chun
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Selepas mencatatkan rekod pendaftaran kenderaan utiliti sukan (SUV) paling banyak di pasaran Malaysia pada Disember lalu, Proton X70 terus mencatatkan rekod bagi SUV segmen C paling tinggi didaftarkan dalam tempoh sebulan dengan 2,777 unit didaftarkan pada bulan lalu.

Jumlah jualan itu meningkat 33.6 peratus berbanding jualan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, sementara perbandingan dari tahun ke tahun, angka berkenaan mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus berbanding Januari tahun lalu.

Ia sekali gus menjadikan PROTON Holdings Bhd mendahului pasaran dalam kadar pertumbuhan bagi jenama automotif antara ketiga yang teratas.

Dengan jumlah pendaftaran rekod yang dicatatkan X70 itu, PROTON memulakan 2019 dengan pencapaian memberangsangkan, yang mana jumlah pendaftaran meningkat kepada 7,007 unit pada bulan lalu.

Penguasaan pasaran dianggarkan pada 14.5 peratus, meskipun angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Satu lagi pencapaian pengeluar kereta nasional itu yang mendahului industri adalah dalam jumlah kemudahan yang ada pada cawangan 3S/4S.

Sehingga akhir bulan ini, terdapat 74 cawangan PROTON 3S/4S dan pengedar beroperasi dan akan lebih banyak cawangan dibuka sepanjang tahun ini.

Cawangan akan bergandingan membantu PROTON dalam mencapai Indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) mencapai sasarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, pihaknya berterima kasih dengan sokongan positif yang ditunjukkan pelanggan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 9:02 AM