MERCEDES-Benz Malaysia menurunkan harga hingga RM10,000 selepas pelaksanaan GST.
MERCEDES-Benz Malaysia menurunkan harga hingga RM10,000 selepas pelaksanaan GST.
PERODUA   menurunkan harga hingga 1.6 peratus bergantung kepada jenis model.
PERODUA menurunkan harga hingga 1.6 peratus bergantung kepada jenis model.
Oleh Badrila Jamlus dan Erywan Norshal

Kuala Lumpur: Bermula semalam, harga beberapa lagi kenderaan di negara ini menyaksikan penurunan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

Pengeluar automotif kedua negara, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) turut menurunkan harga antara 0.1 peratus dan 1.6 peratus bergantung kepada jenis model serta pada masa sama mengekalkan harga alat ganti sekali gus menyerap kos kesan daripada GST.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, syarikat sentiasa menyokong langkah kerajaan dan jangkaan pelanggan khususnya dalam menyediakan kenderaan yang mampu milik serta memberi nilai kepada wang.

“Kami juga sudah menyusun semula harga sesetengah model kami dan memberi nilai tambah dari 3 hingga 12 peratus sejak 2013. Sebagai tambahan kesemua model kenderaan Perodua mendapat jaminan lima tahun,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

“Meskipun pelaksanaan GST akan memberi kesan ke atas beberapa cabang perniagaan syarikat namun terdapat juga perniagaan yang menyaksikan kenaikan dalam kos syarikat,” katanya sambil menambah syarikat mengambil kira semua faktor termasuk penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Sementara itu, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) turut menurunkan harga kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CKD) antara RM190 sehingga RM2,622 iaitu 0.3 hingga 2 peratus selari dengan pelaksanaan GST.

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produknya, Tan Keng Meng berkata, bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU), pihaknya masih lagi mengekalkan harga asal dan tiada perubahan.

“Penurunan harga paling ketara adalah bagi model Nissan Teana 250 XV yang mana sebelum ini dijual pada RM165,322.50 dan kini berharga RM162,699.65 manakala model Nissan Almera, turun antara RM194.88 sehingga RM232.88 mengikut varian yang ditawarkan.

“Kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail yang dilancarkan awal tahun lalu mencatatkan penurunan 1.4 dan 1.3 peratus bagi varian 2.0 L serta 2.5 L. Ia kini dijual pada harga masing-masing RM136,976.96 dan RM159,164.06,” katanya.

Dalam pada itu, Mercedes-Benz Malaysia pula menurunkan harga kenderaannya antara RM2,000 sehingga RM10,000 selepas pelaksanaan GST.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpangnya, Mark Raine berkata, pihaknya gembira untuk mengumumkan bahawa harga keluaran jenamanya lebih murah selepas GST.

Menurutnya, model kenderaan hibrid, Mercedes-Benz E 300 BlueTEC mencatatkan penurunan paling tinggi iaitu RM10,000 yang kini dijual pada harga RM338,888.

Sementara itu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di negara ini mengumumkan harga baru yang mana ia lebih rendah antara RM200 sehingga RM2,000 bagi model terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Won-Chul Yang berkata, pihaknya mahu memberi nilai yang terbaik kepada pelanggannya dengan mengambil kira faktor Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan GST dengan perbezaan empat peratus, selain nilai mata wang ringgit lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 8:33 AM