GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Fiesal Othman


PENGELUAR kenderaan mula mengambil langkah drastik dengan mengumumkan senarai harga baharu susulan langkah kerajaan mengumumkan penetapan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini.

Umumnya, harga yang disenaraikan adalah 6 peratus lebih rendah berbanding sebelumnya setelah tidak mengambil kira kadar GST.

Langkah itu dilihat bagi memanfaatkan tempoh sifar cukai sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula oleh kerajaan.

Antara terawal mengumumkan harga baharu kenderaannya adalah UMW Toyota Motor Sdn Bhd.

Presidennya, K Ravindran berkata, ia adalah bagi memberi jaminan bahawa sebarang pelepasan dan faedah daripada struktur cukai baharu akan diteruskan sepenuhnya kepada pelanggannya dan sebarang semakan harga akan dipertimbangkan demi kepentingan pelanggan.

“Semua model Toyota secara automatiknya menjadi lebih murah dan kami turut paparkan harga yang termasuk GST sebagai perbandingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) juga mengumumkan harga terkini untuk kenderaannya berkuat kuasa 1 Jun ini.

VPCM dalam kenyataannya berkata, harga baharu itu kekal sehingga pelaksanaan semula SST.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, rakyat Malaysia kini berpeluang meraih manfaat daripada situasi semasa.

Beliau berkata, tempoh sekarang adalah durian runtuh untuk rakyat Malaysia dan menyeru mereka yang mempertimbangkan untuk membeli kenderaan Volkswagen merebut peluang ini.

Sementara itu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengumumkan akan membayar balik sepenuhnya GST secara tunai kepada pelanggan yang membeli kenderaan baharu Perodua atau membeli alat ganti.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, ia akan dilakukan antara tempoh 18 hingga 31 Mei 2018, menjelang pelaksanaan GST pada kadar sifar pada 1 Jun depan.

“PRODUA akan membayar balik sepenuhnya kepada pelanggan jumlah GSTsecara tunai ketika pendaftaran atau servis kenderaan mereka serta pembelian alat ganti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 9:07 PM