MOHAMED Rafique
MOHAMED Rafique
HYM Digital

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Bhd mula membuka permohonan produk HouzKEY, skim inovatif sewa beli hartanah kepada orang ramai yang menetap di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, HouzKEY direka untuk menyediakan penyelesaian alternatif untuk pemilikan hartanah melalui skim inovatif yang hanya memerlukan deposit sewa tiga bulan, seterusnya pelanggan boleh memasuki rumah dengan segera.

Katanya, ia skim pemilikan rumah sewa pertama di negara ini diperkenalkan sepenuhnya menerusi platform digital dengan permohonan dan penyerahan dokumen sokongan dibuat menerusi dalam talian.

“Sebaik pemohon memilih hartanah di dalam portal dan bersetuju menyewanya di bawah HouzKEY, bank akan memberi keputusan dalam tempoh masa satu hari bekerja.

“Seterusnya, pelanggan harus membuat deposit tiga bulan jumlah sewa bulanan dalam masa tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, selepas perjanjian ditandatangani, hartanah berkenaan akan dikunci pada harga sewa tetap selama lima tahun dan pelanggan boleh memilih untuk memilih rumah berkenaan dengan menukarkan kepada pinjaman perumahan Maybank selepas tempoh setahun menyewa.

“Selain pilihan itu, pelanggan juga boleh terus menyewa dengan kenaikan kadar sewa sebanyak dua peratus setahun pada tahun keenam sehingga tempoh kontrak mereka berakhir,” katanya.

Mohamed Rafique berkata, HouzKEY adalah antara inisiatif Kumpulan Maybank untuk menyelesaikan cabaran semasa untuk memiliki hartanah selaras dengan agenda negara mengenai pemilikan rumah.

“Sehingga 15 Januari lalu, portal itu menerima sebanyak 13,000 pelawat dan 2,000 daripadanya sudah menunjukkan minat terhadap produk terbabit,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.Maybank2own.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 12:20 AM