Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan membekukan sementara projek pembinaan kondominium dan premis komersial bernilai RM1 juta adalah bertujuan menstabilkan pasaran hartanah.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah projek berkenaan dilihat semakin berlebihan dan kerajaan mahu menangani situasi terbabit berikutan bekalan rumah mampu milik tidak mencukupi.

Katanya, pembekuan berkenaan akan dilakukan secara sementara bagi melihat semula strategi pembangunan supaya ia tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Kita perlu membuat semakan mengenai perkara ini dan sebaik saja semuanya menjadi normal, sampai ke tahap yang munasabah, saya yakin kita tidak akan membekukannya.

“Anda tidak boleh membandingkan Malaysia dengan pasaran lain kerana setiap negara mempunyai cara unik dan berbeza dalam berdepan cabaran tertentu,” katanya kepada media di majlis pelancaran produk Maybank Islamic Bhd, HouzKEY, di sini.

Menurutnya, kerajaan masih belum menerima maklum balas daripada persatuan pemaju hartanah mengenai langkah itu.

Beliau berkata, lebihan 130,000 unit rumah yang siap dan sedang dibina, tetapi tidak terjual sudah mereka ketahui.

“Kalau dilihat laporan Bank Negara Malaysia (BNM), unit kondominium mewah dan pejabat komersial ini banyak yang melebihi permintaan. Jadi Kabinet memutuskan agar pembekuan sementara dilakukan bagi memastikan pembangunan yang sedia ada dapat dijual,” katanya.

Kerajaan melalui keputusan kabinet memutuskan untuk membekukan kelulusan baru bagi pembangunan pusat beli-belah, pejabat, kondominium mewah dan pangsapuri perkhidmatan berharga lebih dari RM1 juta dan ke atas.

Pembekuan itu berkuat kuasa selepas BNM melaporkan bahawa negara kini mempunyai rekod tinggi unit kediaman yang tidak terjual terutama bagi kategori di atas RM250,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 3:00 AM