UEM Sunrise bekerjasama dengan Maybank Islamic melalui program HouzKEY menawarkan pembeli rumah pertama dan kedua memiliki rumah idaman tanpa wang pendahuluan.
UEM Sunrise bekerjasama dengan Maybank Islamic melalui program HouzKEY menawarkan pembeli rumah pertama dan kedua memiliki rumah idaman tanpa wang pendahuluan.

Kuala Lumpur: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd bekerjasama dengan Maybank Islamic melalui program HouzKEY yang menawarkan pembeli rumah pertama dan kedua untuk memiliki rumah idaman tanpa wang pendahuluan.

Selain daripada itu, pembeli juga tidak perlu mengeluarkan pembayaran bagi projek yang dalam tempoh pembinaan serta skim pembiayaan perumahan sebanyak 100 peratus membabitkan 10 projek perumahannya.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya amat memahami kos pendahuluan untuk memiliki kediaman adalah satu bebanan kepada pembeli rumah kali pertama.

Maka, dengan kerjasama Maybank Islamic, ia akan memberikan kemudahan kepada pelanggannya untuk menguruskan proses berkenaan.

"Kami yakin inisiatif HouzKEY ini akan membantu lebih ramai pelanggan kami termasuk pemilik rumah kali pertama untuk mencapai impian memiliki rumah yang dibina oleh UEM Sunrise.

"Kerjasama ini selaras dengan slogan kami, 'Menuju Bahagia' di mana matlamat kami adalah untuk membantu pelanggan kami mencapai kebahagiaan dalam memiliki rumah baharu serta pengalaman pembelian rumah yang menggembirakan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Sufian berkata, di Johor, antara projek syarikat yang terbabit adalah Aspira Gardens; Aspira ParkHomes (Fasa 1, 2, 3A, 3B), Senadi Hills (Fasa 1A, 1B), dan The Maris.

Katanya, di Lembah Klang pula, program itu membabitkan projek pembangunan di KAIA Heights, di Seri Kembangan dan Residensi AVA, pembangunan induk UEM Sunrise di Kiara Bay, Kepong.

"Kediaman bertingkat ini juga berdekatan dengan Taman Metropolitan Kepong serta The Beat iaitu hab peruncitan persisir tasik yang meriah bakal dibuka terdiri daripada peruncit seperti Starbucks pandu lalu, pasar raya dan 21 kedai pelbagai jenis makanan dan minuman.

"Dengan tawaran yang menarik untuk pelbagai jenis projek kami di bawah inisiatif HouzKEY ini, kami berharap bahawa impian untuk memiliki rumah mampu dicapai oleh semua orang," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Maybank Real Estate Ventures, Sally Lye berkata, selaras dengan misinya untuk memberikan kemudahan perkhidmatan kewangan, HouzKEY adalah bukti komitmen mereka membantu pelanggan untuk memiliki rumah impian mereka.

"Kami berbesar hati untuk menyatakan sokongan kami kepada UEM Sunrise dalam mengatasi masalah utama kepada bakal pemilik rumah.

"Kami yakin bahawa kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada lebih ramai pembeli rumah kali pertama dan kedua untuk memiliki rumah impian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:02 AM