TENGKU Zafrul Aziz
TENGKU Zafrul Aziz
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Berhad (Kumpulan CIMB) menandatangani perjanjian bersama Principal Financial Group (Principal) untuk meningkatkan pemilikan dalam CIMB-Principal Asset Management Group dan CIMB-Principal Islamic Asset Management.

Perjanjian itu memperlihatkan peningkatan kepentingan Principal kepada 60 peratus dan CIMB mengekalkan pemilikan sebanyak 40 peratus bagi kedua-dua entiti terbabit. Usaha sama akan terus diuruskan bersama oleh kedua-dua syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, transaksi terbabit dijangka akan selesai sepenuhnya pada suku kedua tahun ini dan tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang berkaitan.

Beliau berkata, langkah itu juga akan menyaksikan kumpulan perbankan itu mencatatkan keuntungan daripada pelupusan sebanyak RM950 juta.

“Sebagai peneraju bank universal ASEAN, pengurusan aset menjadi sebahagian daripada perniagaan perbankan serantau.

“Penyusunan semula saham ini akan memastikan usaha sama pengurusan aset kami dengan Prinsipal mencapai potensinya secara maksimum dan terus mewujudkan nilai untuk CIMB.

“Kepakaran pelaburan skala dan luas adalah penting untuk perniagaan dan kami percaya penyusunan semula strategik ini akan meningkatkan cadangan nilai usaha sama untuk memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Tambah Zafrul, penyusunan semula itu juga memberi peluang kepada pihaknya untuk merealisasikan keuntungan daripada pelaburan strategik di CIMB Principal di samping meneruskan kerjasama sebagai pemegang saham.

CIMB dan Principal sudah bekerjasama di rantau ini sejak 2004 dan sudah berjaya mengembangkan operasi mereka di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu, Kumpulan CIMB-Principal Asset Management mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) lebih daripada RM70 bilion dan adalah salah satu pengurus aset terbesar di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 1:54 AM