ZAFRUL (kiri) bersama Shahnaz selepas keputusan kewangan CIMB Group, semalam.
ZAFRUL (kiri) bersama Shahnaz selepas keputusan kewangan CIMB Group, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) berada pada landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan segmen pembiayaan antara enam hingga tujuh peratus tahun ini, sekali gus mengukuhkan kehadirannya sebagai institusi perbankan unggul di negara ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pihaknya yakin mencapai pertumbuhan di pasaran dan operasi yang CIMB menjadi pemacu utamanya.

Beliau berkata, segmen terbabit meliputi tiga perniagaan utama iaitu perbankan pengguna, komersial dan korporat yang dijangka berkembang pada separuh kedua tahun kewangan kumpulan.

“Pada separuh kedua ini, kami begitu berhati-hati dengan persekitaran dan optimis dengan pasaran berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh di Malaysia dan Indonesia serta peningkatan yang bertambah baik di Singapura dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media keputusan kewangan Kumpulan CIMB separuh pertama 2017 di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan CIMB Shahnaz Jammal.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2017, Kumpulan CIMB merekodkan untung bersih RM2.28 bilion iaitu peningkatan 35.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala keuntungan sebelum cukai RM3.05 bilion.

Pendapatan operasi kumpulan meningkat 13.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.69 bilion didorong peningkatan pendapatan bukan faedah 15.9 peratus selaras aktiviti pasaran modal yang baik.

Zafrul berkata, pencapaian itu memberikan kumpulan tumpuan kepada perkembangan syarikat menerusi kualiti aset merentasi pelbagai segmen perniagaan.

“Kami yakin dengan nilai 5C yang diterapkan seperti modal, kos, budaya, pengalaman pelanggan dan kawal selia dalam program T18 kumpulan, CIMB dalam acuan tepat mencapai sasaran kewangannya pada 2017,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2017, Kumpulan CIMB menyasarkan pulangan ke atas ekuiti 9.5 peratus berbanding 8.3 peratus pada tahun kewangan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 8:51 AM