Kuala Lumpur: CIMB-Principal Asset Management Bhd mahu lebih ramai rakyat Malaysia menyertai Skim Persaraan Swasta (PRS) bagi memastikan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik selepas bersara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Aset dan Pelaburan Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata, ia skim yang amat diperlukan kerana didapati bahawa selepas bersara, keperluan semakin meningkat dan PRS juga cara bagi orang ramai untuk mendapatkan kehidupan lebih baik pada masa depan.

“Dengan keadaan ekonomi global sekarang dan kos hidup tinggi, skim ini akan memastikan orang ramai tidak terjejas teruk akibat daripada keadaan ekonomi itu,” katanya dalam ucapan pada Persidangan CIMB-Principal PRS 2015 di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal, Munirah Khairuddin berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah peluang baik bagi orang ramai untuk melabur dalam PRS.

“Semua orang di Malaysia tidak terkecuali daripada GST dan pelabur juga tertakluk kepada cukai ini, tetapi terdapat pelepasan cukai peribadi RM3,000 setahun dengan mereka yang berusia 20-30 tahun mendapat RM500 bagi setiap sumbangan PRS daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, CIMB-Principal mempunyai 25,000 ahli dengan jumlah permodalan pasaran industri lebih RM800 juta.

CIMB-Principal PRS ialah skim sukarela tambahan untuk meningkatkan tabungan persaraan yang dimulakan pada November 2012.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:55 AM