Caption<DATUK Seri Nazir Razak. FOTO Arkib NSTP
Caption<DATUK Seri Nazir Razak. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


DATUK Seri Nazir Razak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Group dan semua jawatan lain dalam kumpulan syarikat CIMB pada 31 Disember depan.

Berikutan itu, Lembaga Pengarah CIMB akan menggerakkan rancangan penggantian bagi menentukan Pengerusi seterusnya dan tarikh penyerahan.

Nazir berkhidmat di CIMB selama 29 tahun sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak 2014.

Di bawah kepimpinannya, CIMB berkembang daripada francais kewangan korporat menjadi bank pelaburan utama Malaysia, sebelum kemudiannya menjadi bank universal utama di ASEAN.

Kumpulan perbankan itu disenaraikan pada 2003 dengan aset RM9.6 bilion dan permodalan pasaran RM1.5 bilion.

Setakat 30 Jun lalu, aset kumpulan berjumlah RM515 bilion dengan permodalan pasarannya ketika ini berjumlah RM58 bilion.

Mengulas mengenainya, Nazir berkata: “Adalah sukar untuk mencari masa terbaik untuk saya meninggalkan CIMB - tidak terlalu cepat, tidak terlalu lewat - namun sentiasa meletakkan kepentingan firma ini di fikiran.

“Sejak beberapa minggu lalu, saya mengambil masa untuk memikirkannya dan membuat keputusan. Inilah masa paling sesuai untuk pergi apabila pelan penyusunan semula empat tahun CIMB yang dilancarkan pada 2014, T18 selesai. Tambahan pula, misi kerjaya saya adalah untuk membina CIMB menjadi institusi kewangan utama ASEAN.

“Pada 2014, CIMB melaksanakan peralihan CEO pertama sebagai bank universal dan memulakan T18 bagi mengukuhkan struktur, proses selain semak dan imbang sebuah organisasi yang dibina pantas bagi transformasi serta pengembangan serantau.

“Ketika T18 semakin hampir tamat, CIMB kini kukuh daripada segi kewangan, mantap dari segi organisasi dan teguh dari segi institusi,” katanya.

Katanya, CIMB mempunyai pasukan pengurusan cemerlang diterajui oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan barisan pemimpin hadapan di belakangnya.

“Kejayaan berterusan firma ini selepas pemergian saya akan mengesahkan lagi bahawa misi saya di CIMB benar-benar terlaksana,” katanya.

Mengulas bagi pihak Lembaga Pengarah CIMB Group, Pengarah Bebas Kanannya Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, kepimpinan berwawasan, kecekapan perniagaan dan profesionalisme Nazir menjadikan CIMB sebuah institusi perbankan utama dan amat dikenali di ASEAN.

Katanya, kejayaan berterusan kumpulan adalah bukti warisan kepimpinannya.

“Sebagai Pengerusi, beliau sentiasa menyokong Pengarah melaksanakan tugas mengikut prinsip tadbir urus, ketelusan dan tanggungjawab, dengan misi mewujudkan nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan. Kami semua bersedih dengan kehilangannya, namun menghormati keputusan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:19 PM