Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO NSTP
Nabil Basaruddin


CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) mengumumkan komitmennya melalui perbelanjaan sekurang-kurangnya RM15 bilion untuk tempoh dua tahun akan datang bagi membantu membiayai 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, bank berkenaan akan memberi tumpuan dalam membantu PKS untuk mendapatkan akses mudah bagi pinjaman di bawah RM500,000.

Beliau berkata, ia adalah sebagai sokongan kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mudah kepada usahawan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi Malaysia.

“CIMB Bank telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM17.8 bilion pada 2016 hingga 2018 bagi menyokong pertumbuhan kira-kira 17,000 PKS tempatan dengan menyediakan modal kerja, pembiayaan aset dan pembiayaan perdagangan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam tawaran terbaharu CIMB Bank itu, ia termasuk memanfaatkan aset perniagaan sebagai modal kerja tambahan dan memperluas pinjaman tidak bercagar kepada PKS yang sedang menunggu pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Malah, ia juga ditawarkan pada kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh pembayaran fleksibel dan faedah servis sehingga enam bulan bagi membantu perniagaan kecil menguruskan aliran tunai mereka.

Zafrul berkata, PKS adalah tonggak utama kepada ekonomi Malaysia dan CIMB komited untuk meningkatkan industri PKS tempatan serta merentasi ASEAN.

Pada tahun lalu, PKS membentuk 62 peratus pinjaman tidak bercagar CIMB berjumlah di bawah RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:56 PM