Jualan buku Big Bad Wolf menawarkan diskaun sehingga 95 peratus. FOTO NSTP
Jualan buku Big Bad Wolf menawarkan diskaun sehingga 95 peratus. FOTO NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri


Jualan Buku Big Bad Wolf (BBW) yang berlangsung di Mydin Mall Mutiara Rini, Skudai menawarkan potongan harga sehingga 95 peratus.

Pengasas Big Bad Wolf Books, Andrew Yap berkata, jualan yang diadakan mulai esok hingga 31 Mac nanti menawarkan pelbagai genre buku.

“Pengunjung BBW boleh mendapatkan pelbagai bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan potongan harga antara 75 peratus dan 95 peratus.

“Antara genre yang boleh didapati di sini adalah buku terlaris, novel remaja, buku kanak–kanak, percintaan, sains fiksyen, thriller, perniagaan, seni bina, kesenian dan reka bentuk serta buku masakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya percaya minat membaca perlu dipupuk dari kecil justeru, jualan BBW turut menawarkan bahan bacaan untuk si cilik.

“Ibu bapa pasti gembira melihat pelbagai koleksi bacaan kanak-kanak yang meliputi buku aktiviti, buku cerita serta buku mewarna.

“Malah, sebagai usaha menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan dan mengujakan, ibu bapa juga boleh menemui buku augmented reality (AR).

“Siri buku AR Little Hippo, yang juga dikenali sebagai “Buku Ajaib” ini membawakan pengalaman membaca yang mengasyikkan dan interaktif,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Andrew berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan buku pendidikan pada harga lebih rendah daripada penerbit ternama seperti Kualiti Books, Sasbadi, PTS dan Pelangi.

“Selain itu, kami juga membawakan penerbit novel tempatan seperti Buku Fixi, Lejen Press, DuBook Press dan Iman Publication,” katanya.

BBW edisi Johor 2019 dibuka bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan kemasukan adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:11 PM