GELAGAT sebahagian pengunjung jualan buku BBW bersama anak dan keluarga masing-masing.
GELAGAT sebahagian pengunjung jualan buku BBW bersama anak dan keluarga masing-masing.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


MEMBACA adalah jambatan ilmu. Sejak dulu, orang tua selalu mengingatkan pentingnya amalan membaca sebagai persediaan untuk masa depan lebih berkualiti.

Namun, arus kemodenan hari ini membawa cabaran besar untuk memupuk minat membaca bukan saja dalam kalangan anak-anak bahkan orang dewasa.

Kewujudan pelbagai jenis peranti digital seperti telefon pintar mencantas peranan buku, majalah, akhbar dan bahan bacaan fizikal lain yang dulunya menjadi fokus masyarakat.

Anak kecil dibiarkan leka bermain dengan skrin, manakala orang dewasa lebih banyak bergantung kepada ejen carian di Internet. Hilang peranan buku sebagai rujukan, apatah lagi menjadi bahan bacaan santai.

Begitupun, tidak semua daripada kita tenggelam dalam dunia maya. Jualan buku Big Bad Wolf (BBW) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) The Mines, Seri Kembangan sehingga 16 Disember lalu tampak meriah dengan kehadiran ibu bapa bersama anak-anak.

Sebagaimana diketahui ramai, BBW bukan calang-calang pesta. Ia sudah menjadi aktiviti tahunan yang menerima jutaan pengunjung setiap kali berlangsung.

Ini sekali gus membuktikan rakyat Malaysia masih berminat dengan budaya membaca. Mungkin kerana faktor harga dan masa, majoriti kita akan menantikan jualan buku besar-besaran untuk memborong bahan bacaan diminati.

ANAK IKUT TABIAT MEMBACA

Kata ibu kepada empat anak, Caroline Mariampillay, 37, dia dan suami percaya minat membaca boleh diturunkan kepada anak-anak dengan mudah sekiranya ibu bapa turut melakukan perkara sama.

“Setiap kali ada pesta buku di kawasan berdekatan, kami akan bawa anak datang. Di BBW kali ini, anak-anak sudah merancang untuk memborong semua siri komik Ejen Ali yang ada.

 HARYATI optimis pupuk minat anak untuk membaca.
HARYATI optimis pupuk minat anak untuk membaca.

“Kemudian, kami juga mencari beberapa buku yang susah dijumpai atau memang tak ada dijual di luar. Selebihnya, kami beli buku ulangkaji sebagai persediaan untuk anak-anak tahun depan,” katanya.

Jelas Caroline, dia sentiasa meletakkan syarat untuk anak-anak sebelum mereka dibenarkan membeli buku baru. Antaranya adalah menghabiskan bacaan sedia ada dan mengeluarkan mana-mana buku yang tidak lagi diingini untuk disumbangkan kepada orang memerlukan.

“Anak-anak semua ulat buku. Kami juga membelanjakan ratusan ringgit setiap tahun untuk buku. Jadi, kalau hendak beli yang baru, mereka memang kena kosongkan rak buku supaya ada ruang untuk buku baru.

“Saya anggap ini antara kaedah terbaik untuk beri dorongan kepada anak-anak supaya meneruskan minat membaca. Kami tidak pernah menyuruh, apatah lagi memaksa anak untuk membaca.

“Mereka belajar daripada apa yang dilihat. Saya dan suami suka membaca. Jadi, anak-anak sudah terbiasa dengan budaya ini sejak mereka kecil.

“Sebagai ibu, saya hadkan masa menonton televisyen dan bermain dengan gajet,” katanya.

Selain Caroline, gelagat Haryati Arshad, 44, bersama tiga anak turut mencuri tumpuan. Kata wanita ini, pesta buku antara aktiviti menarik untuk diteroka bersama anak-anak, khususnya dalam membantu menyemai minat membaca.

“Biasanya kami bawa anak-anak melancong pada cuti sekolah. Kemudian, kami juga selitkan beberapa aktiviti ringkas supaya mereka tidak bosan menghabiskan masa di rumah.

“Memandangkan anak sulung beria-ria hendak membeli buku, jadi kami singgah ke mari untuk melihat pilihan yang ada. Dua anak lelaki kurang minat membaca.

“Saya harap dengan membawa mereka ke sini boleh membantu memupuk minat dan kecenderungan terhadap budaya membaca,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:05 AM