MUHAMAD Farid (dua dari kanan) diiringi Ahmad Basri (kanan) melawat kilang pengeluaran sate di Bayan Lepas, semalam.
MUHAMAD Farid (dua dari kanan) diiringi Ahmad Basri (kanan) melawat kilang pengeluaran sate di Bayan Lepas, semalam.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pengurusan Restoran Satay Ah’ Basri melabur RM87,000 untuk berkongsi citarasa dan kepelbagaian makanan itu kepada pelanggan setia apabila membuka kilang memproses sate di Lintang Bayan Lepas, baru-baru ini.

Pengarah Urusannya Ahmad Basri Abdullah berkata, kilang terbabit dibuka bagi menampung permintaan sate di dua cawangannya iaitu di Taman Sri Tunas, Bayan Lepas dan Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata, kilang berkenaan diharap menjadi batu loncatan dan memenuhi permintaan pelanggan di dua cawangan barunya di Bangi, Selangor yang dijangka dibuka hujung tahun ini dan di Seberang Jaya, Pulau Pinang, awal tahun depan.

“Menerusi pembukaan kilang ini, ia merancakkan lagi pengeluaran sate yang disasarkan antara 28,000 hingga 36,000 cucuk sehari, malah kami mendapat tender daripada dua hotel tempatan yang menempah hidangan sate Ah’ Basri.

“Kami berharap dapat meneroka lebih banyak peluang termasuk menyediakan pekerjaan kepada rakyat tempatan dan meningkatkan jualan pembekal pelbagai bahan mentah yang diperlukan untuk membuat sate,” katanya.

Kilang berkenaan dirasmikan Pengerusi Fokus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Muhamad Farid Saad.

Ahmad Basri berkata, kilang itu merangkumi bahagian simpanan sejuk beku, bahan mentah, perapan dan pemprosesan.

Katanya, pihaknya merancang mempelbagaikan produk seperti burger dan nugget serta sate.

Beliau berkata, pihaknya merancang membuka francais kepada peniaga berminat selain mengintai peluang membuka restoran di China selepas mendapat sambutan baik ketika menyertai Ekspo Makanan di negara berkenaan, baru-baru ini.

Sate Ah’ Basri mempunyai 36 jenis seperti arnab, burung unta, ayam, daging, kuda dan paling digemari ialah kalamari, malah restoran terbabit turut mempunyai sate kurang gula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:42 AM