Naib Presiden Kanan Industri Bio, Bioeconomy Corp, Zainal Azman Abu Kasim. FOTO Mohamad Hussin
Naib Presiden Kanan Industri Bio, Bioeconomy Corp, Zainal Azman Abu Kasim. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


PERBADANAN Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) akan membuka kilang bio pertama di dunia yang akan beroperasi di Nusajaya, Johor sekali gus menawarkan 400 peluang pekerjaan.

Bioeconomy, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebagai peneraju kimia berteraskan bio mengadakan kerjasama dengan Sime Darby Bhd (Sime Darby) dan Verdezyne, sebuah syarikat berstatus Bionexus.

Naib Presiden Kanan Industri Bio, Bioeconomy Corp, Zainal Azman Abu Kasim berkata, kilang itu akan siap beroperasi dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, ia akan menggunakan minyak kelapa sawit untuk menghasilkan 10,000 tan metrik Dodecanedioic Acid (Diacid) setahun.

“Diacid adalah bahan kimia berasaskan bio yang boleh diperbaharui yang digunakan dalam komponen automotif, kosmetik dan minyak wangi.

“Ia adalah produk yang mesra alam dan mampan serta mampu menjadi alternatif kepada bahan kimia yang berteraskan petroleum.

"Loji berasaskan bio pertama ini mempamerkan kesediaan Malaysia untuk menjadi salah satu negara bioekonomi utama serta antara tonggak penting bagi negara sebagai bioekonomi,” katanya pada sidang media sempena Ekspo Astana 2017 di Kazakhstan, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Projek Ekspo Astana 2017 berkata, Malaysia mensasarkan untuk menjadikan sektor bioteknologi sebagai pemacu ekonomi utama di negara.

Menurutnya, Malaysia perlu meningkatkan produktiviti untuk langkah ke depan dalam pembangunan teknologi hijau yang berasaskan bio dan inovasi.

Ekspo Astana 2017 berlangsung selama tiga bulan mulai 10 Jun lalu hingga 10 September depan membabitkan lebih 100 negara yang memfokuskan tenaga masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 5:42 PM