TUNKU Abu Bakar (kiri) dan Stolz mempamerkan trofi yang dimenangi mereka. FOTO Ihsan Fanatec GT World Challenge Asia
TUNKU Abu Bakar (kiri) dan Stolz mempamerkan trofi yang dimenangi mereka. FOTO Ihsan Fanatec GT World Challenge Asia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama gandingannya Luca Stolz mengungguli carta kejuaraan GT World Challenge Fanatec GT3 Asia selepas mendapat penamat podium di Mobility Resort, Motegi, Jepun hari ini.

Selepas menamatkan perlumbaan pertama di tempat keempat semalam, gandingan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) yang menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 terus cemerlang dengan menamatkan cabaran perlumbaan kedua di tempat ketiga.

Dengan perlumbaan berbaki empat pusingan, Tunku Abu Bakar-Stolz kini mendahului carta kejuaraan selepas mengumpul 95 mata, sembilan mata di hadapan pencabar terdekat Vutthikorn Inthraphuvasak-Anthony Liu Xu dari pasukan R&B Racing.

"Saya harap kita dapat teruskan momentum ini dan menamatkan musim di kedudukan teratas. Mudah-mudahan kita dapat penamat podium dalam dua perlumbaan pusingan akhir di Sepang nanti.

"Kita sentiasa beraksi dengan hebat di sana (Sepang) dan berharap ia tetap sama tahun ini," katanya Tunku Abu Bakar dalam kenyataan hari ini.

Seorang lagi putera Sultan Johor Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim dan rakan sepasukannya Broc Feeney pula menamatkan saingan di tempat ke-13.

JMR kekal di tempat keempat dalam carta kedudukan pasukan dengan mata terkumpul 101 mata, di belakang pendahulu R&B Racing (128 mata), diikuti Absolute Racing (119 mata) dan Craft-Bamboo Racing ketiga (114 mata).

Pusingan kesembilan dan ke-10 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Okayama pada 18 hingga 20 Ogos, namun pasukan JMR akan kembali beraksi hujung minggu depan pada siri kejuaraan GT World Challenge Fanatec Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 9:52 PM