JENTERA Zarco terbelah dua selepas dirempuh Marquez. FOTO Agensi
JENTERA Zarco terbelah dua selepas dirempuh Marquez. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Juara Grand Prix (GP) Jerman lapan kali Marc Marquez berkata dia berasa bertuah kerana terlepas daripada kecederaan selepas terbabit kemalangan ngeri dalam sesi latihan kedua awal pagi tadi.

Marco Bezzecchi dari Itali mencatatkan masa terpantas ketika hujan melanda sepanjang dua sesi latihan, mengakibatkan kelewatan dan banyak insiden berlaku

Pelumba Sepanyol itu menduduki tempat kedua pada sesi latihan sebelah pagi di belakang Johann Zarco dari Perancis.

Pada sesi petang dia terbabit dalam kemalangan ngeri yang menyaksikan jenteranya terbabas sebelum mengenai motosikal Zarco sehingga menyebabkan ia terbelah dua.

Kedua-dua pelumba bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

Marquez berkata Zarco sepatutnya boleh bertindak lebih pantas untuk mengelak daripada kemalangan itu.

"Saya seorang pelumba yang jika saya melakukan kesilapan, saya berkata 'ini adalah kesilapan saya'," katanya.

"Kami berdua sangat bernasib baik tidak berdepan sebarang masalah daripada insiden itu."

Zarco membalas, dengan menegaskan dia 'sangat berhati-hati' semasa kejadian itu.

"Ia adalah antara jenis kemalangan yang berlaku dalam perlumbaan," katanya.

"Saya suka Marc dan dia seorang juara di sini, tetapi dia kehilangan sedikit kawalan apabila dia bercakap, ia agak menyedihkan.

"Dia harus berfikir dua kali sebelum bercakap dan mengatakan bahawa ini salah saya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 12:51 PM