ZARCO (kanan) beraksi bersama LCR Honda pada musim ini. FOTO AFP
ZARCO (kanan) beraksi bersama LCR Honda pada musim ini. FOTO AFP
Agensi

Paris: Pelumba pasukan satelit, LCR Honda, Johann Zarco tidak mahu pengeluar dari Jepun itu memberi fokus utama kepadanya sepertimana pasukan itu sering memberi tumpuan kepada Marc Marquez sebelum ini.

Zarco yang menyertai pasukan itu musim ini bagi menggantikan Alex Rins dilihat cukup penting kerana sering mempamerkan keputusan memberangsangkan sekali gus mampu menyaingi pasukan pengeluar Repsol Honda.

"Jangan terlalu memberi tumpuan kepada saya. Walaupun kadangkala saya lebih pantas, apa yang penting adalah kami berkongsi data bersama pelumba lain bagi meningkatkan kembali jentera Honda sekali gus ia akan memberi manfaat kepada semua orang.

"Pada masa ini di Honda, perbezaan ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini ialah pelumba yang pantas tidak semestinya hadir daripada pasukan pengeluar.

"Ia tidak bermaksud saya paling pantas tetapi kemampuan pasukan satelit dan pengeluar adalah sama dan ia berguna untuk kedua-dua pasukan bagi pembangunan jentera Honda," katanya.

Jentera RC213V Honda yang pertama kali diperkenalkan pada 2012, melalui peringkat pembangunan secara beransur-ansur mengikut keperluan Marc Marquez sekali gus menjadi kunci kepada kejayaan pengeluar Jepun itu sebelum ini.

Formula yang bersandarkan kepada Marquez itu sangat berjaya apabila pelumba Sepanyol itu memenangi enam kejuaraan dunia dalam tempoh tujuh tahun, namun kecederaan dialaminya bermula musim 2020, terus menjejaskan prestasi Honda.

Selepas Marquez mengambil keputusan untuk menyertai Gresini Ducati pada tahun ini, Honda mengambil pendekatan baharu dalam program pembangunan jenteranya dengan memberi tumpuan kepada pelumba lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 8:02 PM