BEKAS Bekas pengarah perlumbaan Formula Satu, Michael Masi. FOTO REUTERS
BEKAS Bekas pengarah perlumbaan Formula Satu, Michael Masi. FOTO REUTERS
Reuters

Hong Kong: Bekas pengarah perlumbaan, Michael Masi mendedahkan dia menerima ugutan bunuh di media sosial selepas keputusan kontroversi dibuatnya, tahun lalu, menyaksikan Max Verstappen muncul juara dunia Formula Satu.

Warga Australia itu menukar prosedur permulaan semula kereta keselamatan di akhir perlumbaan Grand Prix (GP) Abu Dhabi, Disember lalu, menyebabkan mahkota menjadi milik pemandu Red Bull, Verstappen dan menafikan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton mencipta rekod juara kali kelapan.

"Ia adalah beberapa hari hitam," kata Masi kepada News Corp, hari ini.

"Dan sudah tentu, saya merasa seperti lelaki paling dibenci di seluruh dunia. Saya mendapat ugutan. Ada orang menyatakan mereka mahu datang mencari saya dan keluarga."

Keputusan Masi membenarkan kereta yang sudah dipintas di antara pendahulu, Hamilton dan Verstappen berada di antara pemandu Mercedes itu serta kereta keselamatan menyaksikan Verstappen memintas pada pusingan terakhir dan mengesahkan gelaran.

Laporan mengenai perlumbaan di Abu Dhabi yang disiapkan pada Mac lalu mendapati Masi melakukan 'kesilapan manusia' tetapi berlakon dengan 'niat baik'.

Masi yang meninggalkan FIA pada Mac lalu, menjadi sasaran serangan dan kemarahan di media sosial.

"Ia cukup mengejutkan," kata Masi mengenai mesej diterimanya di Facebook.

"Perkauman, cacian, keji dan mereka memanggil saya dengan apa saja nama di bawah matahari.

"Ia berterusan, bukan sahaja di Facebook, tetapi LinkedIn saya yang sepatutnya menjadi platform profesional untuk bisnes saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 2:34 PM