HAMILTON (kiri) tewas kepada Verstappen dalam perebutan kejuaraan dunia. FOTO AFP
HAMILTON (kiri) tewas kepada Verstappen dalam perebutan kejuaraan dunia. FOTO AFP
Agensi

London: Lewis Hamilton menyambut ulang tahun kelahiran ke-37 semalam tanpa sambutan meriah daripada juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1) itu.

Sejak gagal mempertahankan gelaran juara dunia di Abu Dhabi, Hamilton tidak pernah munculkan dirinya selain daripada sesi temuramah ringkas sebaik tamat perlumbaan di Abu Dhabi.

Dia membatalkan sesi temuramah yang biasanya dilakukan bersama media ketika Mercedes cuba membantah kemenangan kontroversi diraih Max Verstappen di Litar Yas Marina yang sekali gus membolehkannya merangkul kejuaraan dunia.

Dua bantahan pasukan itu menemui kegagalan dan seminggu selepas itu, bos Mercedes, Toto Wolff mengesahkan pihaknya menarik balik tindakan undang-undang yang mahu dilakukan oleh pasukan itu.

Sebaliknya, Wolff berkata mereka meletakkan kepercayaan kepada badan induk sukan itu, FIA, untuk menyiasat tindakan steward dan pengarah perlumbaan, Michael Masi.

Wolff juga memberi bayangan dia tidak pasti sama ada Hamilton akan kembali beraksi meskipun masih mempunyai kontrak dua tahun bersama Mercedes iaitu pada musim ini dan tahun depan.

SunSport difahamkan Mercedes ada menghubungi Hamilton yang membayangkan bahawa dia belum bersedia untuk bersara.

Bagaimanapun sikap berdiam dirinya terus mencetuskan persoalan dan ada yang berpendapat Hamilton masih terluka berikutan kekalahan kepada Verstappen.

Perkataan yang diucapkan Hamilton di radio pasukan iaitu 'perlumbaan ini sudah dimanipulasi' jelas menggambarkan rasa tidak puas hatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 11:31 AM