Rossi (tengah) bersama anak didiknya Luca Marini (kiri) dan Marco Bezzecchi.
Rossi (tengah) bersama anak didiknya Luca Marini (kiri) dan Marco Bezzecchi.
Agensi

Paris: Bos pasukan VR46, Pablo Nieto berkata skuad MotoGP semakin bersedia dengan suntikan penaja utama Aramco bagi musim 2022 tetapi ia bergerak sangat perlahan.

Valentino Rossi akan membawa pasukan VR46 dalam saingan MotoGP sepenuh masa pada 2022 dan dilengkapkan dengan jentera Ducati untuk Luca Marini dan Marco Bezzecchi.

Namun pembabitan pasukan itu ke kelas perdana dihimpit kontroversi mengenai penaja utama, oleh syarikat gergasi minyak Arab Saudi, Aramco - diumumkan oleh Tanal Entertainment pada April lalu.

Bagaimanapun, Aramco mengeluarkan kenyataan kepada Motorsport.com menafikan pembabitan bersama VR46 dan Tanal Entertainment.

Ditanya ketika Grand Prix Emilia Romagna minggu lalu, mengenai situasi terkini perjanjian membabitkan VR46 bersama Aramco, Nieto berkata: "Seperti yang anda tahu, kami memeterai perjanjian bersama Aramco.

"Ia berjalan lancar, tetapi agak perlahan namun kami yakin ia akan kembali berada pada landasan terbaik.

"Ini adalah perkara paling penting, kami harus terus bekerja keras dan buat masa ini saya fikir saya boleh memberitahu anda kami sedang berkerja keras untuk itu.

"Terdapat beberapa perkara menyebabkan ia agak lambat tetapi kami berusaha ke arahnya dan masih bekerja keras melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 2:36 PM