Fernando Alonso. FOTO Agensi
Fernando Alonso. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Fernando Alonso berkata dia tidak menjangkakan terlalu banyak perhatian diberikan kepada usianya ketika dia kembali ke saingan Formula Satu (F1) selepas dua tahun tidak bersama perlumbaan itu.

Juara dua kali, yang memandu untuk Alpine yang juga bekas pasukan Renault, kini berusia 39 tahun dan akan memasuki 40 tahun pada Julai depan, sementara juara tujuh kali, Lewis Hamilton berusia 36 tahun dan pelumba Alfa Romeo, Kimi Raikkonen, 41.

Alonso berkata: "Umur saya menjadi persoalan besar tapi saya agak terkejut dengan perkara itu. Saya tidak begitu tua. Pelumba yang mendominasi sukan ini berusia 36 tahun. Saya tidak tua hingga lebih 20 tahun."

Pelumba Sepanyol itu dalam temubual bersama BBC Sport menegaskan dia 'lebih baik' daripada pelumba lain di petak garisan perlumbaan berkata tidak ada jaminan dia akan kembali sebagai pelumba yang mampu bersaing kuat seperti sebelum ini.

"Saya harap begitu," katanya. "Anda hanya mempunyai tahap keyakinan diri, selain cuba mempamerkan aksi perlumbaan terbaik yang diharapkan pasukan.

"Apabila saya mengambil keputusan untuk kembali, saya cuba memberi tumpuan kepada persediaan, tidak hanya fizikal tetap juga teknikal bersama pasukan dan berusaha untuk mencapai kepantasan dengan bahasa F1 yang, sedikit lebih teknikal daripada kategori lain."

Alonso yang memenangi 32 Grand Prix dan dianggap antara pemandu F1 terbaik dalam sejarah selepas dua tahun meninggalkan perlumbaan F1 untuk bersaing dalam kategori lain.

Dia memenangi dua perlumbaan Le Mans 24 Hours pada 2019, begitu juga World Endurance Championship, dua kali bersaing di Indianapolis 500 dan turut mencuba saingan perlumbaan Rali Dakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 1:23 PM