WAN Adnan (dua dari kanan) Lego Sam (dua dari kiri) di Grand Finale Phaze International Dance Competition semalam. FOTO FERZALFIE FAUZI
WAN Adnan (dua dari kanan) Lego Sam (dua dari kiri) di Grand Finale Phaze International Dance Competition semalam. FOTO FERZALFIE FAUZI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketika berbasikal dan badminton diletakkan harapan untuk menghadirkan pingat emas sulung Sukan Olimpik, acara breaking seakan mahu membuktikan bahawa mereka juga berhak memburu misi berkenaan dengan mempertaruhkan atlet terbaik seperti Lego Sam.

Lego Sam yang memenangi emas di Sukan SEA Filipina 2019 akan memulakan misi untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila akan berlepas ke negara berkenaan Ahad ini bagi beraksi di Kejohanan Dunia Breaking.

Menurut Presiden Seni dan Budaya Tarian Jalanan (SDCA), Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, atletnya bukan saja berpeluang untuk melayakkan diri ke Olimpik 2024 namun mampu untuk menghadirkan khabar gembira buat rakyat Malaysia dengan membawa pulang pingat.

"Kita percaya atlet negara mampu untuk memasuki sehingga ke peringkat Olimpik 2024. Kali ini bukan saja boleh ke peringkat Olimpik tapi menjadi juara (emas) di sana," kata Wan Adnan ketika ditemui di Grand Finale Phaze International Dance Competition semalam.

Beliau mengakui ketika tumpuan diberikan kepada sukan lain mungkin ada yang tidak percaya bahawa tarian jalanan (breaking) mampu menghadirkan emas Olimpik pertama negara.

Sebelum ini breaking membuat penampilan sulung di peringkat Olimpik apabila dipertandingkan di Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires 2018 dan disebabkan pencapaian memberangsangkan ia dipilih untuk disenaraikan di Paris 2024 bersama beberapa lagi acara lain seperti luncur ombak, papan selaju dan sukan memanjat.

Bagaimanapun, Wan Adnan mengakui untuk merealisasikan impian menggunung itu mereka juga masih lagi memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan.

"Memang ada bantuan tapi tidak sebanyak dan sekuat persatuan lain, kita harus memberi semangat bagi membantu mereka dari segi dana dan sokongan pihak kerajaan. Sukan ini juga harus diberi peluang untuk meningkatkan pencapaian dan mencipta nama selepas berjaya di peringkat antarabangsa terutama Sukan SEA.

"Seperti mana yang semua orang tahu bulan depan (4 Disember) kita menghantar dua atlet untuk bertanding di kejohanan antarabangsa di Paris (menawarkan mata kelayakan ke Olimpik 2024). Dengan pencapaian yang sedia ada, hanya sedikit lagi untuk mereka menjadi lebih bagus terutama melalui dokongan dan sokongan (pihak kerajaan) bantuan dari individu serta syarikat lain belum mencukupi," katanya.

Selain Lego Sam (Sam Lee Jek) turut akan beraksi di Kejohanan Dunia Breaking di Paris ialah Khenobu (Mohd Faridh Mohd Yassin).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 2:20 PM