LEGO Sam memenangi emas di Sukan Sea Kemboja. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
LEGO Sam memenangi emas di Sukan Sea Kemboja. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Phnom Penh: Penari breakdance negara, Sam Jee Lek mempunyai misi lebih besar selepas melakar kejayaan di Sukan Sea Kemboja apabila perlu memerah keringat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Jee Lek atau digelar 'Lego Sam' kini dalam mempersiapkan diri untuk menyertai beberapa kejohanan dunia dalam usaha mengumpul mata untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan 48 terbaik dunia.

Katanya, walaupun mengharungi pelbagai cabaran termasuk tiada 'pasukan khas' mengikutinya untuk menyertai kejohanan terbabit namun dia optimis mampu mencipta keputusan positif sekali gus beraksi di pentas Olimpik.

"Perancangan seterusnya adalah bersedia untuk menyertai sekurang-kurangnya lapan kejohanan untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Olimpik Paris.

"Sekarang ini, saya berada dikedudukan ke 65 dunia sekali gus perlu bekerja keras untuk memperbaiki ranking.

"Saya boleh katakan bukanlah mudah untuk memperoleh keputusan positif kerana mempunyai beberapa kekangan namun berdasarkan pengalaman tidak mustahil untuk mencapai kejayaan itu," katanya.

Jee Lek dilihat sukar digugat di pentas Asia Tenggara apabila memenangi emas dengan menumpaskan wakil dari Thailand, Kantapon Rodsaarat 3-0 dalam acara 'breakdance' di Sukan Sea Kemboja.

Seorang lagi peserta Thailand, Chinavut Chantarat membawa pulang pingat gangsa selepas dia mengatasi wakil dari Filipina, Yer Lord Ilyvm Losinio Gabriel 2-1.

Mengikut rekod, emas yang dimenangi Jee Lek adalah yang kedua selepas kali pertama meraihnya di temasya Sukan Sea Filipina 2019.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan acara breakdancing, luncur air, papan selaju dan sports climbing adalah empat acara sukan tambahan tersenarai dalam Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:19 PM