NASRIQ berkorban untuk Amir Daniel. FOTO Mikail Ong
NASRIQ berkorban untuk Amir Daniel. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Jurulatih judo Pulau Pinang, Md Nashriq Md Nasir sanggup menempuh perjalanan sejauh kira-kira 140 kilometer (km) dengan menunggang motosikal untuk menjemput dan menghantar atlet negara, Amir Daniel Abdul Majeed menjalani latihan menjelang kejohanan penting seperti Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Md Nashriq, 37, berkata, beliau melakukan rutin itu hampir setiap hari sejak Amir Daniel, 18, melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kepala Batas bulan lalu memandangkan semua sesi latihan diadakan di sebelah pulau.

"Saya mula melatih Amir Daniel sejak dia berumur lima tahun dan sebenarnya bukan kali pertama saya melakukan perkara sebegini untuk kemudahan atlet tapi ini melibatkan jarak paling jauh.

"Dalam hal ini, kami perlu merancang program latihan dengan sebaik-baiknya selain memberi sepenuh komitmen supaya dia berada pada tahap terbaik," katanya ketika dihubungi.

Md Nashriq yang tinggal di Teluk Air Tawar, Butterworth berkata Amir Daniel harus menjalani latihan kecergasan di gimnasium Majlis Sukan Negeri (MSN) di Batu Uban tiga kali seminggu yang mengambil masa dua hingga tiga jam bagi setiap sesi.

Tambahnya, pemenang pingat gangsa pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu turut perlu mengikuti program latihan di akademi judo yang terletak di Tanjung Tokong pada setiap hari Isnin hingga Sabtu.

Beliau berkata, sebaik sahaja menamatkan cabaran Sukma Amir Daniel dijadualkan berangkat ke Chiang Rai, Thailand pada 22 September ini untuk menyertai satu lagi kejohanan terbuka di negara jiran itu.

Tambahnya, skuad judo negeri menyasar dua emas pada Sukma MSN 2022 dengan menampilkan 13 atlet yang akan berentap antaranya menerusi acara Nage no Kata dan Ju no Kata.

Pasukan berkenaan turut bakal membariskan tujuh atlet wanita terdiri daripada Tan Kei Yi, Siti Nur Aisyah Che Adzmi, Ummi Nazeerah Amran, Goh Xuan Le, Chuah Siew Imm, Delwina Cheah dan Anura Jeffrey.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:26 PM