KAMINI Sri (kanan) dan Amir Daniel sandaran utama acara judo di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO MOHD AMIN JALIL
KAMINI Sri (kanan) dan Amir Daniel sandaran utama acara judo di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Dua atlet judo negara berada pada landasan terbaik untuk menyerlah di pentas Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Mereka ialah Amir Daniel Abdul Majeed, 18, yang bakal beraksi bagi kategori bawah 73 kilogram (kg) dan S Kamini Sri, 25, menerusi kategori bawah 57kg.

Ketua jurulatih, Md Nashriq Md Nassier berkata, persiapan latihan kedua-dua atlet berjalan dengan lancar dengan fokus dalam persiapan terakhir diberikan dari aspek kekuatan mental selain taktikal.

"Setakat ini latihan persiapan fasa akhir kita berjalan lancar dan mengikut apa yang telah dirancangkan.

"Kemajuan dari segi prestasi kedua-dua atlet juga amat memberangsangkan kerana pengalaman membuat persiapan ketika menghadapi Sukan SEA Hanoi lalu, jelas dapat membantu memudahkan lagi skop latihan yang dilaksanakan.

"Kedua-dua atlet ini jelas sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara biarpun ia penyertaan pertama di pentas temasya sukan terbesar itu," katanya hari ini.

Jurulatih berasal dari Pulau Pinang itu berkata, fokus persiapan terakhir pihaknya adalah dari aspek membantu membina kekuatan mental atlet kerana mereka bakal berhadapan dengan pesaing hebat dari seluruh dunia.

Md Nashriq berkata, pihaknya yakin sasaran ditetapkan untuk kedua-dua atlet melepasi peringkat suku akhir mampu direalisasikan dengan mengambil kira prestasi dan pencapaian mereka di Sukan SEA lalu, yang masing-masing meraih pingat gangsa.

"Sasaran awal kita mara ke peringkat suku akhir itu dianggap realistik buat masa ini kerana penyertaan kedua-dua atlet itu adalah yang pertama di Sukan Komanwel.

"Cabaran yang bakal mereka hadapi nanti bukan mudah kerana terdapat pencabar yang tidak pernah mereka temui sebelum ini.

"Namun, adalah tidak mustahil untuk mereka mara sejauh mungkin dan kita tetap mengharapkan mereka dapat melakukan persembahan terbaik dengan meraih pingat buat negara," katanya yang memaklumkan pasukan judo negara dijangka bertolak ke Birmingham pada Sabtu ini sebelum memulakan aksi pertama pada 1 Ogos.

Untuk rekod, kali terakhir judo dipertandingkan di Sukan Komanwel adalah pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 5:50 PM