Amir Daniel Abdul Majeed (kiri) dan Kamini Sri Segaran (kanan) atlet judo negara. -FOTO Bernama
Amir Daniel Abdul Majeed (kiri) dan Kamini Sri Segaran (kanan) atlet judo negara. -FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Nilai: Selepas meraih keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan apabila bakal membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel Birmingham.

Atlet berusia 18 tahun itu mengakui cukup teruja untuk beraksi pada temasya sukan berprestij itu selepas kali terakhir judo dipertandingkan pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

"Sebelum peperiksaan, saya berjanji kepada jurulatih yang saya mahu mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM. Alhamdulillah akhirnya saya dapat 8A.

"Ia sememangnya memberi motivasi dan saya mahu buktikan dapat mengimbangi antara pelajaran dan sukan. Kalau boleh saya mahu cemerlang di kedua-dua bidang ini," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya, hari ini.

Mengakui agak gementar apabila bakal membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel, pemenang pingat gangsa dekat Sukan Sea Vietnam itu berharap segala-galanya berjalan dengan baik ketika di Birmingham.

"Untuk baki tempoh yang ada ini saya perlu perbaiki tahap kekuatan diri sebab apabila anda beraksi di Sukan Komanwel dan bertemu atlet dari Britain sebagai contohnya, anda memerlukan tenaga yang lebih kuat.

"Dengan teknik dan tunjuk ajar diberikan oleh jurulatih, saya meletakkan sasaran peribadi dapat mara sehingga ke suku akhir.

"Selepas pandemik (Covid-19), kami tidak dapat menyertai banyak kejohanan dan saingan antarabangsa pertama yang saya sertai hanyalah di Sukan Sea Vietnam. Di situ saya masih mampu raih gangsa dan ia memberi inspirasi kepada saya," katanya.

Amir yang sudah 13 tahun menceburi sukan judo, akan beraksi dalam kategori bawah 73 kilogram (kg). Seorang lagi wakil negara yang akan beraksi di Birmingham adalah Kamini Sri Segaran menerusi kategori bawah 57kg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 2:45 PM