SEORANG pegawai polis Thailand melamar teman wanitanya di tengah-tengah kesesakan lalu lintas dan berkongsi video detik romantis itu di akaun TikToknya.
SEORANG pegawai polis Thailand melamar teman wanitanya di tengah-tengah kesesakan lalu lintas dan berkongsi video detik romantis itu di akaun TikToknya.
Agensi

Bangkok: Seorang pegawai polis Thailand melamar teman wanitanya di tengah-tengah kesesakan lalu lintas dan berkongsi video detik romantis itu di akaun TikToknya.

Portal The Thaiger melaporkan, video itu menjadi tular memaparkan pegawai polis, Piyawat Chaiyawet, melamar teman wanitanya dua hari lalu dimuat naik akaun TikTok, piyawatpark.

Lokasi jalan dan tarikhnya tidak dilaporkan, namun video itu pantas mencuit hati netizen.

Dalam video itu, kelihatan Piyawat keluar dari keretanya ketika lampu isyarat berwarna merah.

Sebelum keluar, dia meminta teman wanitanya merakam videonya.

Wanita itu nampaknya mempunyai idea mengenai apa yang berlaku dan menyatakan kebimbangannya mengenai bahaya.

Wanita itu dalam itu berkata: "Saya tahu! Sekarang, saya tahu kenapa awak bertindak pelik sepanjang hari!"

Piyawat keluar dan kemudian berdiri di depan kereta sambil memegang beberapa helaian kertas yang tertera mesej yang ingin disampaikan kepada teman wanitanya.

Mesej itu tertera: "Sayang…"

"Kita bersama untuk seketika…"

"Saya rasa sudah tiba masanya. Saya ingin menjaga awak selama-lamanya."

"Baby…"

Piyawat berpatah balik untuk memeriksa sama ada lampu sudah bertukar hijau.

Kemudian, dia mengeluarkan sebentuk cincin dan menunjukkan sehelai kertas lagi dengan mesej: "Sudikah awak berkahwin dengan saya?"

Wanita yang duduk di dalam kereta itu membalas dengan isyarat OK, membuatkan Piyawat tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:51 AM