NORZA hadir merasmikan Seminar Pengadil Antarabangsa Kyorugi dan Poomsae anjuran TM di Wisma MOM, di sini hari ini. FOTO MOM
NORZA hadir merasmikan Seminar Pengadil Antarabangsa Kyorugi dan Poomsae anjuran TM di Wisma MOM, di sini hari ini. FOTO MOM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Taekwondo Malaysia (TM) menyahut cabaran daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam merangka strategi bagi memastikan adanya wakil negara beraksi di pentas Olimpik Los Angeles 2028.

Presidennya Azizul Annuar Adenan berkata, beliau mengambil maklum perkara itu dengan TM sudah mula membuat persediaan awal bagi menyahut cabaran berkenaan.

Sebagai langkah pertama TM selaku badan induk sukan itu akan kembali menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa dengan menjadi tuan rumah Kejohanan Taekwando Remaja Asia di Kuching dari 25 hingga 31 Julai 2025, kejohanan antarabangsa pertama selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

"Kejohanan berkenaan membabitkan peserta dari 44 negara. Ia penjenamaan semula selepas sekian lama kita tidak menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Ia sebahagian daripada program pembangunan negara yang mana kita buat persediaan awal bagi memastikan bahawa kita ada wakil di Olimpik dan penyertaan di peringkat tertinggi yang lain.

"Oleh itu, saya menyokong kenyataan Presiden Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria yang mengatakan TM perlu ada 'roadmap' menuju ke Sukan Olimpik LA2028," katanya.

Kali terakhir atlet taekwondo beraksi di pentas Olimpik menerusi Che Chew Chan yang beraksi dalam kategori 69 kilogram di Olimpik Beijing 2008.

Dalam perkembangan berlainan Azizul yang ditemui pada Seminar Pengadil Antarabangsa Kyorugi dan Poomsae anjuran TM berkata, beliau turut berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyenaraikan kembali taekwando dalam sukan teras.

Katanya, permohonan sudah dihantar kepada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung perkara itu dan kini dalam peringkat perbincangan.

"Saya berharap ia dapat dipertimbangkan susulan kejayaan atlet taekwando negara di pentas dunia dan juga Asia. Atlet sudah membuktikan bahawa mereka komited dalam menentukan hala tuju sukan itu di masa hadapan," katanya.

Atlet taekwando kembali mengukir nama di pentas antarabangsa apabila meraih pingat perak di Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea Selatan dua tahun lalu menerusi Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo Jun Wei.

Gandingan Nurul Hidayah-Jason juga meraih emas acara berpasukan campuran di Sukan Sea 2019 Filipina dan 2023 Kemboja (acara tidak dipertandingkan pada edisi 2021 Vietnam), selain pingat perak bersama adiknya Nur Humaira dan Lim Jia Wei bagi acara berpasukan wanita di Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 2:55 PM