AKSI Nurul semalam. FOTO AIDA ADILAH MAT
AKSI Nurul semalam. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Sukan taekwando terpaksa menerima hakikat bahawa rezeki tidak memihak kepada mereka kali ini apabila menutup tirai penyertaan di temasya Sukan Asia Hangzhou tanpa sebarang pingat.

Bagaimanapun dua atlet negara, Jason Loo dan Nurul Hidayah Abdul Karim mengakui mereka membawa pulang pengalaman berharga pada penampilan pertama di temasya Sukan Asia kali ini.

Biarpun pahit untuk ditelan apabila peluang Hidayah merangkul sekurang-kurangnya pingat gangsa hanya dipisahkan dengan 0.03 mata oleh juri yang tidak profesional, mereka mengakui ia sesuatu yang harus diterima apabila memilih acara poomsae iaitu satu sukan subjektif.

Malah situasi itu bukan perkara baru dengan Hidayah mengakui bahawa sudah banyak kali dia berdepan situasi yang sama.

"Poomsae adalah acara subjektif, selalunya ada baik dan buruk dan tidak seperti acara kyorugi yang ada penderia pada badan.

"Temasya kali ini menggunakan format satu lawan satu yang mana ia juga jarang digunakan di kebanyakan pertandingan.

"Kebiasaannya kami lebih gemar format yang mana lapan atlet sekali masuk dan bukannya persembahan seorang-seorang," kata Hidayah.

Pada aksi di suku akhir semalam, Hidayah tewas 0.03 mata kepada pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2013, Marjan Salahshouri dari Iran mengikut markah bagi persembahan selepas kedua-dua mereka terikat 7.780 mata purata.

Sementara itu Jason turut terlepas slot separuh akhir apabila tewas kepada atlet Taiwan, Ma Yun-zhong dari Taiwan 7.950 mata berbanding 7.770 mata.

Jason-Nurul Hidayah sebelum ini meraih perak di Kejohanan Poomsae Taekwando Dunia 2022 bagi acara berpasukan campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 8:46 PM