ZAMBRY  (tengah) bergambar bersama kontinjen negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, hari ini.
ZAMBRY (tengah) bergambar bersama kontinjen negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Kontinjen negara disasarkan untuk meraih 35 pingat emas sekali gus berada dalam kalangan tiga negara terbaik pada Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) yang bakal berlangsung dari 25 Jun sehingga 6 Julai ini di Surabaya dan Malang, Indonesia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sasaran itu diharap dapat dicapai kontinjen negara terdiri daripada 263 atlet dan 119 pegawai membabitkan 18 acara yang sertai.

"Perkara paling mustahak adalah mereka perlu bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan kerana tiada yang mustahil. Perkara menggerakkan kita untuk mencapai kejayaan adalah semangat daya juang setiap atlet itu sendiri," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, hari ini.

Pada majlis itu, jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Zambry turut mengumumkan berita gembira tambahan insentif untuk atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada edisi ke-21 kejohanan itu.

Jelas Zambry, atlet yang memenangi pingat emas akan diberi ganjaran sebanyak RM3,000 berbanding RM2,000 sebelum ini, manakala pemenang pingat perak pula bakal meraih RM2,000, tambahan RM500 berbanding ganjaran asal RM1,500.

Pingat gangsa turut tidak terkecuali memperoleh tambahan insentif sebanyak RM1,500 berbanding RM1,000 sebelum ini.

"Diharap pemberian insentif ini akan memberi tambahan semangat kepada setiap atlet, namun bukan berjuang hanya kerana insentif semata-mata.

"Jadi saya berharap dengan kehebatan barisan atlet yang kita miliki, mereka akan terus mencipta nama dan memberikan kejayaan bermakna kepada negara," katanya.

Pada edisi terakhir dua tahun lalu di Ubon Ratchathani, kontinjen negara mengutip 49 emas, 83 perak dan 52 gangsa untuk menamatkan saingan selaku naib juara di belakang Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:33 PM