ONN  bersama atlet dan pegawai kontinjen Johor yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukma 2022 ketika majlis penutup temasya Sukma  di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bulan lalu.
ONN bersama atlet dan pegawai kontinjen Johor yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukma 2022 ketika majlis penutup temasya Sukma di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bulan lalu.
BERNAMA

Iskandar Puteri: 242 atlet serta 120 pegawai dan jurulatih kontinjen Johor menerima insentif berjumlah RM1.35 juta atas pencapaian muncul juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, bulan lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif itu sebagai tanda penghargaan kepada kontinjen negeri yang meraih 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Beliau berkata susulan kejayaan itu, kerajaan negeri turut memberikan insentif tambahan sebanyak RM2,000 kepada pemenang pingat emas kategori individu, menjadikan jumlah insentif diterima mereka berjumlah RM5,000.

"Insentif bagi pingat perak individu pula sebanyak RM2,000 dan gangsa RM1,500.

"Selain pencapaian ini, lebih manis apabila dua atlet kita turut melakar sejarah dinobat Olahragawan dan Olahragawati terbaik Sukma...apa dilakar akan terus terpahat dan mengharumkan nama negeri Johor," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kontinjen Negeri Johor Sukma ke-20 di sini hari ini.

Beliau berkata atlet lelaki dan wanita terbaik Sukma iaitu Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize dari sukan kanu dan atlet renang Tan Rouxin, turut menerima insentif masing-masing RM5,000 atas pencapaian cemerlang mereka itu.

Onn Hafiz berkata, Muhammad Fakrullah yang meraih sembilan pingat emas dengan dua rekod kebangsaan, menerima insentif tertinggi berjumlah keseluruhan RM44,500 manakala Tan yang meraih enam emas, satu perak dan satu gangsa membawa pulang RM33,000.

Beliau turut berharap agar kontinjen Johor terus melakar kejayaan pada Sukma akan datang selepas mencipta sejarah muncul juara buat pertama kali dalam tempoh 36 tahun penganjuran temasya dwitahunan tempatan itu.

Sementara itu, Muhammad Fakrullah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif tersebut yang dapat menyuntik semangat untuk terus mengharumkan nama Johor dalam arena sukan tanah air.

"Saya tidak pernah letak sasaran meraih gelaran (olahragawan) ini, dan hanya bersungguh-sungguh pada setiap pertandingan. (Insentif) Ini akan menjadi pembakar semangat dan bantu saya pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 7:55 PM