PASUKAN lelaki menamatkan penantian 15 tahun untuk memenangi pingat emas. FOTO MTBC
PASUKAN lelaki menamatkan penantian 15 tahun untuk memenangi pingat emas. FOTO MTBC
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bekas jaguh tenpin boling negara, Shalin Zulkifli memuji aksi hebat yang ditampilkan pasukan lelaki negara sehingga berjaya menamatkan penantian 15 tahun pingat emas skuad Malaysia dalam acara lelaki lima berpasukan pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-26.

Ikon sukan Legenda Harian Metro itu berkata, kejayaan yang diraih anak buah Ben Heng itu membuktikan mereka masih berada dalam kelas yang tersendiri meskipun sebelum ini kurang menyerlah pada penampilan di kejohanan dunia tahun lalu.

"Macam sebelum ini, kita memang tahu skuad boling lelaki bagus cuma mereka berdepan laluan sukar untuk menang emas.

"Jadi kali ini di Hong Kong, mereka semua pertajamkan skil permainan untuk tamatkan penantian 15 tahun, jadi memang sangat bagus," katanya.

Sebelum ini pasukan lelaki negara yang dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy dan Ahmad Muaz mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan dengan melakukan 7,323 jatuhan pin di ATBC baru-baru ini.

Selain itu Rafiq turut beraksi cemerlang apabila mengungguli acara Masters lelaki selain skuad negara menyapu bersih acara All Event lelaki dengan beliau membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 6,128 bagi meraih emas.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menutup cabaran di Hong Kong itu dengan membawa pulang empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Dalam pada itu, Shalin ketika diminta mengulas berkenaan skuad wanita negara mengakui mereka gagal beraksi di tahap terbaik meskipun sebelum ini berjaya menyerlah di kejohanan dunia tahun lalu.

"Di kejohanan dunia kita boleh lihat pasukan wanita lebih dominan berbanding lelaki. Dalam boling ini biasa, dia bergilir-gilir.

"Mungkin prestasi skuad wanita kurang memberangsangkan kerana sudah lama tiada Kejohanan Tenpin Boling Asia. Tapi bagi saya ia masih okay," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 4:35 PM