DJOKOVIC masih belum berputus asa memburu emas Olimpik.
DJOKOVIC masih belum berputus asa memburu emas Olimpik.
Reuters

Belgrade: Bekas pemain nombor satu dunia Novak Djokovic akan beraksi di Sukan Olimpik Musim Panas di Paris, kata Jawatankuasa Olimpik Serbia awal pagi tadi.

"Novak Djokovic dan Dusan Lajovic sudah memenuhi syarat mengikut tahap ATP dan disahkan boleh menyertai Sukan Olimpik Musim Panas di Paris 2024, namun Djokovic belum lagi mengesahkan pengumuman itu secara terbuka, " kata jawatankuasa Serbia di laman web mereka.

Pada awal Jun, pemenang 24 kali Grand Slam itu menarik diri sebelum perlawanan suku akhir Roland Garros menentang Casper Ruud selepas mengalami masalah kecederaan di bahagian lutut kanannya.

Dua minggu lalu, Djokovic mengesahkan dia menjalani pembedahan pada lututnya tetapi tempoh masa untuk kembali beraksi masih lagi tidak ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, Djokovic sudah lama mengatakan mahu memberi keutamaan kepada Sukan Olimpik musim panas ini kerana ingin memburu pingat emas perseorangan yang sukar diperolehnya.

Pada Oktober 2023, dia mengatakan memenangi emas Olimpik tahun depan adalah salah satu cita-cita utamanya dan pada tahun ini dia sekali lagi mengulangi matlamatnya itu.

"Olimpik Paris sangat penting kerana ia sentiasa menjadi keutamaan bagi saya," kata Djokovic pada April sebelum kejohanan gelanggang tanah liat di Monte Carlo.

Dia sudah bermain dalam empat kejohanan Olimpik dan memenangi pingat gangsa di Beijing pada 2008 dan hampir dua kali memenangi pingat lain sejak itu.

Djokovic tewas dalam perlawanan pingat gangsa kepada Juan Martin del Potro di London pada 2012 dan tewas sekali lagi kepada pemain Argentina itu empat tahun kemudian di pusingan pertama di Rio.

Pada temasya di Tokyo, Djokovic tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa kepada Pablo Carreno Busta dari Sepanyol dan dalam kejohanan sama Djokovic menarik diri daripada perlawanan pingat gangsa beregu campuran kerana kecederaan bahu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:39 AM