ZVEREV mara ke separuh akhir keempat berturut-turut Terbuka Perancis. -Reuters
ZVEREV mara ke separuh akhir keempat berturut-turut Terbuka Perancis. -Reuters
AFP

Paris: Alexander Zverev mara ke separuh akhir Terbuka Perancis keempat berturut-turut selepas melakar kemenangan 6-4, 7-6 (7/5), 6-4 ke atas pilihan ke-11 dari Australia, Alex de Minaur.

Pilihan keempat, Zverev akan menentang Casper Ruud untuk merebut tempat ke final Ahad ini selepas pemain Norway itu menerima kemenangan percuma susulan penarikan diri Novak Djokovic akibat kecederaan.

Zverev dari Jerman kini mencatatkan 11 kemenangan berturut-turut selepas merangkul kejuaraan di Rom bulan lalu namun dia tidak pernah mara ke final di Roland Garros.

"Saya gembira berada di satu lagi separuh akhir. Semoga saya boleh terus menang," kata Zverev yang menewaskan juara 14 kali Rafael Nadal pada pusingan pertama.

Zverev sebelum ini tewas kepada Ruud dalam straight set pada separuh akhir Terbuka Perancis tahun lalu.

Selepas memerlukan lima set pada dua pusingan sebelumnya, Zverev menundukkan De Minaur dalam masa tiga jam.

"Semua orang terus bertanya kepada saya apa yang saya lakukan untuk bangkit dari proses pemulihan dan jawapannya sangat mudah – anda tidak pulih selepas perlawanan, anda pulih di luar musim," kata Zverev.

"Saya letakkan dalam pemikiran yang anda perlu bekerja lebih keras daripada orang lain untuk menjadi pemain terbaik. Saya suka bekerja dengan had tertinggi. Jika saya berbuat demikian maka bermain lima set secara tiba-tiba tidaklah begitu sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 8:01 AM