MURRAY masih mempunyai misi sebelum gantung raket. FOTO AFP
MURRAY masih mempunyai misi sebelum gantung raket. FOTO AFP
AFP

Paris: Andy Murray berkata dia 'berbangga' selepas aksinya di Terbuka Perancisnya berakhir dengan kekalahan di pusingan pertama selepas ditumpaskan juara 2015 dan rakannya yang memenangi gelaran Grand Slam tiga kali, Stan Wawrinka.

Murray, naib juara di Roland Garros pada 2016, tewas 6-4, 6-4, 6-2 dalam penampilan perseorangan terakhirnya pada kejohanan itu sebelum bersara akhir tahun ini.

Pemain berusia 37 tahun itu sudah mengumumkan bahawa dia merancang untuk menghabiskan masa dalam kariernya pada musim panas dengan beraksi di Wimbledon dan Sukan Olimpik Paris kerana dua acara berprofil tinggi ini disenaraikan dalam jadualnya.

Dia mendapat tepukan gemuruh daripada penonton di Court Philippe Chatrier dan Murray membalas isyarat itu dengan penuh penghargaan.

Selain perjalanannya ke final lapan tahun lalu, apabila tewas kepada Novak Djokovic, Murray mara ke separuh akhir empat kali dan suku akhir dua kali.

"Saya mempunyai kenangan yang hebat... Ia bukan permukaan yang mudah untuk saya. Tetapi saya sentiasa muncul dan mempamerkan beberapa persembahan yang baik. Saya mencatat keputusan terpuji di sini selama bertahun-tahun."

Ia adalah penampilan pertama Murray di Roland Garros sejak tewas kepada Wawrinka pada pusingan pertama empat tahun lalu dan hanya yang kedua sejak kekalahan dramatik di separuh akhir berdepan pemain Switzerland itu pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:11 AM