WAWRINKA  memeluk Federer selepas tamat aksi.
WAWRINKA memeluk Federer selepas tamat aksi.
AFP

Paris: Stanislas Wawrinka menyingkirkan Roger Federer pada suku akhir Terbuka Perancis kelmarin untuk bertemu dengan pemain harapan tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga pada separuh akhir.

Wawrinka, pilihan kelapan dari Switzerland menewaskan Federer, rakan senegaranya pada pertarungan tiga set yang berkesudahan 6-4, 6-3, 7-6 (7/4).

Pilihan ke-14, Tsonga, mengharungi lima set ketika berdepan pilihan kelima dari Jepun, Kei Nishikori sebelum menang 6-1, 6-4, 4-6, 3-6, 6-3.

Federer pilihan kedua dan juga juara Roland Garros 2009, hanya tewas dua kali dalam 18 pertemuan menentang Wawrinka sebelum ini namun tewas di Gelanggang Suzanne Lenglen.

Juara Grand Slam 17 kali itu ternyata gagal mematahkan servis lawannya sepanjang perlawanan itu yang berlanjutan hingga dua jam sembilan minit.

Ia satu lagi petanda kejatuhan pemain berusia 33 tahun itu selepas tewas pada pusingan ketiga Terbuka Australia awal tahun ini di tangan pemain Itali, Andreas Seppi.

Federer merangkul gelaran Grand Slam terakhir hampir tiga tahun lalu apabila menjulang gelaran Wimbledon buat kali ketujuh pada 2012.

“Kami tahu Stan mampu melakukannya, sesuatu yang bagus dan penting untuknya mengawal keadaan dan bermain dengan baik. Saya rasa dia mempamerkan aksi tenis yang hebat hari ini,” kata Federer yang mengakui lawannya mampu mengawal permainan dalam keadaan angin kencang.

“Ia amat sukar jadi agak mengagumkan bagaimana Stan mampu bermain.”

Wawrinka, juara remaja di Roland Garros 2003 tetapi kini mara ke separuh akhir undian utama buat kali pertama.

“Hari ini adalah perlawanan terbaik saya di gelanggang tanah liat, satu detik yang menakjubkan. Keadaan begitu mencabar dengan begitu banyak angin tapi saya yakin dan bagi saya ia satu perlawanan yang menakjubkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:27 AM