STAN Wawrinka ketika aksi menentang Sam Querrey. Foto Reuters
STAN Wawrinka ketika aksi menentang Sam Querrey. Foto Reuters
AFP

STAN Wawrinka memberi amaran kepada Andy Murray supaya tidak terlalu tergesa-gesa untuk kembali ke gelanggang selepas menjalani pembedahan pinggul, apabila bekas pemain nombor satu dunia itu memberi gambaran yang dia masih belum pasti ke Wimbledon.

Murray ditewaskan 2-6, 7-6 (7/4), 7-5 oleh pemain Australia, Nick Kyrgios di pusingan pertama Queen’s Club dalam perlawanan kompetitif yang pertama untuk tempoh 11 bulan.

Pemain berumur 31 tahun itu yang berada di ranking 156 dunia mengakui selepas kekalahannya yang dia masih belum pasti jika badannya mampu bertahan menghadapi saingan di Wimbledon.

Dia merancang untuk melihat bagaimana tahap kecergasannya sebelum memutuskan sama ada akan bermain di All England Club yang pernah menyaksikan dua kali dia menjulang gelaran Wimbledon.

Dengan Wimbledon yang bermula 2 Julai ini, Murray tidak mempunyai masa yang cukup untuk memperoleh kecergasan yang penuh,

Bintang Switzerland Wawrinka yang kembali selepas kecederaan jangka masa panjang memaklumkan kepada Murray bertapa sukarnya bermain di Grand Slam selepas lama diketepikan.

“Perlawanan pertama saya ialah Terbuka Australia, dan dua hari selepas itu saya tidak rasa kesakitan, tetapi badan saya bagaikan tidak bermaya. Saya rasa seperti mati,” kata Wawrinka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:37 AM