MURRAY masih mengingati peristiwa memeritkan ketika separuh akhir Terbuka Perancis 2017. FOTO AFP
MURRAY masih mengingati peristiwa memeritkan ketika separuh akhir Terbuka Perancis 2017. FOTO AFP
AFP

Paris: Tiga tahun lalu Andy Murray terpaksa menderita sakit pinggul ketika berdepan Stan Wawrinka di Roland Garros dan kali ini kedua-duanya akan bertemu lebih awal di pusingan pertama kejohanan yang sama.

Pada 2017, Murray dan juara Terbuka Perancis 2015 itu bersaing sengit dalam aksi penuh mendebarkan sebanyak lima set sebelum menyaksikan pemain veteran Switzerland itu bangkit daripada kekalahan dua set.

Murray, 33, terpaksa membayar dengan harga mahal apabila bekas pemain nombor satu dunia dari Britain itu merana kecederaan pinggul berpanjangan yang hampir menamatkan kariernya.

Kedua-dua Murray dan Wawrinka adalah bekas juara kejuaraan utama sebanyak tiga kali.

Murray yang sekarang ini menduduki ranking ke-111 dunia memerlukan tiket wild card untuk beraksi di Paris tahun ini namun masih boleh berbangga dengan rekod pertemuan 12-8.

Kedua-dua pemain ini berlatih bersama-sama di gelanggang Philippe Chatrier minggu ini.

"Ia perjalanan yang agak panjang perlu saya tempuhi untuk kembali ke gelanggang Philipe Chatrier, Tiga tahun setengah sejak saya beraksi dalam perlawanan penuh kejam sebanyak lima set bertemu Wawrinka di separuh akhir yang menyebabkan saya menderita kecederaan pinggul," kata Murray di Instagram.

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, yang memburu kejuaraan Roland Garros buat kali kedua selepas kejayaan sulung pada 2016, akan berdepan wakil Sweden, Mikael Ymer di aksi pembukaan.

Ymer yang berusia 22 tahun berada di ranking ke-80 dunia.

Penyandang juara, Rafael Nadal, yang diletakkan sebagai pilihan kedua dan memburu kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-13, akan memulakan kempen menentang pemain Belarus, Egor Gerasimov.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 2:02 PM