DJOKOVIC meraikan kemenangannya ke atas Tsitsipas. FOTO AFP
DJOKOVIC meraikan kemenangannya ke atas Tsitsipas. FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic akan bertemu Rafael Nadal pada final Terbuka Perancis awal pagi Isnin selepas meraih kemenangan dramatik lima set mengatasi Stefanos Tsitsipas di separuh akhir.

Djokovic yang menduduki ranking pertama dunia dan juga muncul juara di Roland Garros pada 2016, melangkah ke pentas final kali kelima di Paris dengan menewaskan Tsitsipas 6-3, 6-2, 5-7, 4-6, 6-1 yang menyaksikannya mempunyai peluang untuk meraih mata kemenangan di set ketiga.

Nadal, juara 12 kali, menewaskan Diego Schwartzman 6-3, 6-3, 7-6 (7/0) sekali gus melangkah ke pentas final buat kali ke-13.

Djokovic berpeluang untuk memenangi kejuaraan utama yang ke-18 dan muncul pemain pertama dalam abad ini yang memenangi kesemua saingan Grand Slam sebanyak dua kali.

Nadal, pemain nombor dua dunia pula, berpeluang menyamai rekod sepanjang zaman Roger Federer yang memenangi 20 gelaran Grand Slam.

Djokovic adalah salah seorang daripada dua pemain yang berjaya menewaskan Nadal di Roland Garros sejak 15 tahun lalu.

"Ini adalah 'rumah' Rafa," kata Djokovic menjelang pertemuan ke-56 dengan Nadal dan penampilan ke-27 pada final Grand Slam.

"Saya menewaskannya di sini pada 2015 tetapi kali ini akan menjadi cabaran terbesar iaitu bermain menentang Nadal di gelanggang tanah liat," kata Djokovic.

Sementara itu, kemenangan Nadal, 34, ke atas Schwartzman adalah yang ke-99 di Roland Garros.

Dia kini sudah 28 kali mara ke final kejohanan major dan tidak tewas satu set pun dalam kejohanan tahun ini.

"Ia sentiasa sesuatu yang menakjubkan dapat bermain di sini dan ini adalah detik yang istimewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 9:07 AM