Dari kiri: Federer, Nadal dan Djokovic teruskan kemaraan di Terbuka Perancis. FOTO Agensi
Dari kiri: Federer, Nadal dan Djokovic teruskan kemaraan di Terbuka Perancis. FOTO Agensi
AFP

Paris: Novak Djokovic, Rafael Nadal yang menyambut hari lahir dan Roger Federer mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis, ketika persaingan membabitkan gelaran wanita kini terbuka selepas pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty menarik diri kerana kecederaan.

Djokovic yang juga pilihan utama meneruskan pemburuan kejuaraan kedua di Roland Garros dan gelaran ke-19 Grand Slam dengan kemenangan straight set ke atas pemain Uruguay, Pablo Cuevas.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang mensasarkan menjadi pemain lelaki pertama dalam tempoh lebih daripada 50 tahun merangkul empat kejuaraan Slam dua kali berturut-turut, menang 6-3, 6-2, 6-4.

"Saya kekal fokus. Saya rasa set ketiga agak sukar bagi saya kerana dia kembali memperoleh rentak permainan," kata pemain nombor satu dunia selepas perlawanan ke-350 Grand Slam apabila dia mencatat 32 kemenangan.

Djokovic akan bertemu pemain Lithuanian, Ricardas Berankis.

Pemain nombor tiga dunia, Rafael Nadal, yang memburu gelaran ke-14 Terbuka Perancis dan rekod kejuaraan ke-21 Grand Slam, meraikan sambutan hari lahir ke-35 dengan menewaskan Richard Gasquet, pemain pertama ditentang ketika mereka berusia 12 tahun.

Nadal mencatat kemenangan 6-0, 7-5, 6-2 dalam perlawanan yang berlangsung tanpa peminat di Court Philippe Chatrier.

Gasquet berjaya bertahan dari 2-5 hingga 5-5 di set kedua sebelum tewas buat kali ke-17 dalam 17 perlawanan berdepan pemain Sepanyol itu.

"Perkara yang paling penting adalah memenangi perlawanan. Jika perlawanan berlangsung straight set adalah lebih baik," kata Nadal.

"Saya tidak merungut langsung, perkara utama adalah untuk rasa seperti bermain dengan baik."

Nadal akan berdepan pemain Britain, Cameron Norrie yang sudah ditewaskan dua kali pada musim ini di Terbuka Australia dan gelanggang tanah liat dekat Barcelona.

Kekalahan Gasquet bermakna tiada pemain lelaki atau perempuan Perancis yang berjaya mara ke pusingan ketiga kejohanan itu buat pertama kali.

Federer pula berada di landasan tepat untuk berdepan Djokovic pada suku akhir selepas menyingkirkan Marin Cilic, 6-2, 2-6, 7-6 (7/4), 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 8:18 AM